IPOH: Kerajaan Perak melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri sedang melaksanakan pelupusan terhadap baki 88 ekor babi yang dijangkiti Demam Babi Afrika (ASF) di dua ladang komersial di Kerian.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, kerja-kerja pelupusan yang dijalankan mengikut piawaian ketat dan terkawal itu dijangka selesai hari ini.

Bagaimanapun, jelas beliau, proses pelupusan berkenaan tidak akan memberi impak besar terhadap kadar pengeluaran haiwan ternakan tersebut.

“Wabak adalah terkawal dan jangkitan hanya berlaku di daerah Kerian. Pemindahan keluar babi dan produk babi dari zon pemantauan dikawal dengan ketat.

“Penyakit ASF adalah tidak zoonotik yang bermaksud ia tidak berjangkit pada manusia. Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak panik.

“Sila laporkan dengan kadar segera kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak atau terus ke Hotline Bilik Pengurusan Krisis Jabatan Perkhidmatan Veterinar Putrajaya menerusi talian 03-8870 2041,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan penternak dan pekerja di ladang babi juga untuk tidak melawat ladang babi yang lain bagi mengurangkan risiko jangkitan ASF.

Selain itu, katanya, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membeli babi hidup secara terus dari ladang atau kenderaan pengangkut babi.

“Para penternak dinasihatkan untuk tidak menghantar babi ke rumah sembelih sekiranya ada tanda klinikal disyaki penyakit di ladang.

“Kenderaan pengangkut babi mesti melalui proses disinfeksi secara menyeluruh sebelum dan selepas keluar dari kawasan rumah sembelih.

“Tambahan, semua ladang babi komersial mesti memperkukuhkan amalan dan kemudahan biosekuriti di premis masing-masing bagi mencegah kemasukan penyakit ASF,” jelasnya lagi.

Pada Isnin, JPV Putrajaya dilaporkan mengesahkan kejadian penyakit ASF di dua ladang komersial ternakan babi di daerah Kerian, pada 17 dan 18 September lalu.

Perkara itu disahkan melalui ujian reaksi rantai polimerase oleh Institut Penyelidikan Veterinar dan tindakan kawalan serta pencegahan rebakan penyakit ASF telah dilaksanakan.