PEMAIN sayap Chelsea FC, Pedro Neto, dikenakan penggantungan satu perlawanan serta denda GBP70,000 (RM365,161) selepas didapati bersalah melakukan salah laku ketika aksi menentang Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Insiden itu berlaku ketika kekalahan Chelsea 1-2 kepada Arsenal, apabila Neto dilayangkan dua kad kuning dalam tempoh tiga minit sebelum diarahkan keluar padang pada minit ke-70 perlawanan.
Advertisement
Kad kuning pertama dilaporkan berpunca daripada bantahan keras selepas jaringan Arsenal, manakala kad kuning kedua diberikan susulan kekasaran terhadap pemain Arsenal, Gabriel Martinelli.
Namun kontroversi tidak terhenti di situ. Selepas dilayangkan kad merah, Neto didakwa gagal meninggalkan padang dengan segera dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai perlawanan, menyebabkan The Football Association (FA) mengambil tindakan disiplin tambahan terhadapnya.
Pemain Portugal berusia 26 tahun itu kemudiannya mengaku bersalah terhadap pertuduhan salah laku, sebelum sebuah panel kawal selia bebas FA memutuskan hukuman penggantungan satu perlawanan serta denda kewangan.
Akibat hukuman tersebut, Neto akan terlepas aksi liga seterusnya menentang Newcastle United, sekali gus menjadi tamparan buat Chelsea yang sedang bergelut mencari konsistensi musim ini.
Situasi itu menambah tekanan kepada skuad The Blues yang sebelum ini turut berdepan beberapa isu disiplin melibatkan pemain dalam pelbagai pertandingan.
Jika prestasi dan disiplin tidak segera diperbaiki, kem Chelsea dijangka terus berdepan cabaran sukar dalam baki saingan liga musim ini.