Skip to main content

Malaysia

Konflik Asia Barat: 23 jam redah perjalanan darat, demi keluarga dari zon perang

SEPANG, 11 Mac -- Mohd Tarmimi Tarmizi, 39, seorang koordinator logistik yang terkandas di Doha yang dibawa pulang dalam Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia dari Zon Konflik Asia Barat ketika ditemui pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.  Mohd Tarmimi yang penerbangan asalnya pada 7 Mac lalu dibatalkan menyifatkan pengalaman tersebut sebagai amat mencabar apabila terpaksa melalui perjalanan darat selama 23 jam merentasi sempadan antarabangsa untuk ke lapangan terbang al
Mohd Tarmizi antara wajah yang paling lega sebaik melangkah masuk ke ruang kabin pesawat sewaan khas Malaysia Airlines di Jeddah, mengenangkan detik cemas apabila rutin hariannya di Doha berubah menjadi zon amaran perang dalam sekelip mata. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Meredah perjalanan darat selama 23 jam dengan menaiki bas merentasi sempadan negara antara cabaran getir yang terpaksa ditempuh Mohd Tarmimi Tarmizi demi menyelamatkan diri daripada terus terperangkap dalam kancah konflik di Asia Barat.

Bagi koordinator logistik yang baru sebulan bekerja di Doha itu, kepulangan ke tanah air bukan sekadar berakhirnya satu perjalanan melelahkan, tetapi noktah kepada sebuah "igauan ngeri" yang menghantui hidupnya di Qatar sejak peperangan meletus di rantau berkenaan.

Advertisement

Lelaki berusia 39 tahun itu antara wajah yang paling lega sebaik melangkah masuk ke ruang kabin pesawat sewaan khas Malaysia Airlines di Jeddah, mengenangkan detik cemas apabila rutin hariannya di Doha berubah menjadi zon amaran perang dalam sekelip mata.

"Ini pengalaman pertama saya terkandas begini. Di Doha, kami dapat melihat jet pejuang terbang rendah, malah ada bunyi letupan kuat dan kepulan asap pada waktu malam," katanya kepada Bernama.

Mohd Tarmimi turut menceritakan bagaimana siren amaran kecemasan sering kali memecah kesunyian malam, mengganggu tidur serta memaksa setiap penghuni berlindung di kawasan selamat dan dilarang keluar rumah demi keselamatan nyawa masing-masing. 

Apabila penerbangan asalnya pada 7 Mac dibatalkan susulan penutupan ruang udara yang tidak menentu, Mohd Tarmimi dan rakan setugasnya mula buntu.

Bagaimanapun, sinar harapan muncul apabila pihak Kedutaan Malaysia menghubungi mereka untuk bersiap sedia bagi Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia dari Zon Konflik Asia Barat, sekali gus bermulalah satu perjalanan darat dan udara yang melelahkan tetapi penuh makna.

Mohd Tarmimi bersama 34 individu lain terpaksa menempuh perjalanan sejauh ribuan kilometer dari Doha menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah melalui jalan darat yang mencabar.

"Kami terpaksa melalui jalan alternatif untuk mengelakkan kawasan berisiko tinggi atau tempat yang terkena serangan bom. Walaupun letih, kami nekad untuk keluar dari Doha," katanya.

Di sebalik kepayahan itu, Tarmimi tidak putus-putus menzahirkan rasa terharu terhadap komitmen pegawai kedutaan dan konsulat yang dianggapnya sebagai wira yang tidak tidur malam.

"Saya sangat kagum sebab mereka (pihak kedutaan) uruskan segalanya daripada hotel penginapan, logistik merentas sempadan, hinggalah urusan imigresen yang sangat rumit. Malah, kos tiket penerbangan yang mencecah RM10,000 pun ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.

"Kami tahu mereka juga penat dan bimbang, tetapi mereka tetap melayan kami dengan baik. Kami boleh tidur, tetapi mereka terus bekerja demi memastikan kami sampai ke lapangan terbang dengan selamat," katanya.

Anak jati Sarawak yang kini menetap di Johor itu kini hanya mahu pulang ke pangkuan keluarga, sambil membawa memori tentang nilai keselamatan dan keprihatinan negara terhadap rakyatnya di perantauan.

Mohd Tarmimi merupakan antara 163 rakyat Malaysia yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama tujuh warganegara asing bagi Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia pertama dari Zon Konflik Asia Barat, pada 11 Mac lepas.

Misi yang dilaksanakan atas arahan segera Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu membawa pulang sekumpulan rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Arab Saudi, Syria, Jordan dan Qatar terdiri daripada pelajar, pengembara serta jemaah umrah.

Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Feb susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan Amerika Syarikat di negara Teluk.

-- BERNAMA

Must Watch Video