Demi ketenteraman awam dan sensitiviti agama, Zakir Naik tidak dibenarkan ceramah

Salim Aziz
Ogos 16, 2019 05:45 MYT
Zakir berkemungkinan tidak akan hadir ke acara yang akan berlangsung selama tiga hari tersebut. - Gambar fail
Penceramah agama dari India, Dr Zakir Naik, yang dijadual menyampaikan ceramah di masjid ikonik Masjid Al-Hussain di Kuala Perlis, pada jam 10 malam esok, dijangka terpaksa melupakan hasrat itu.
Ia berikutan kenyataan Ketua Polis Negeri Datuk Noor Mushar Mohd bahawa ceramah yang dijadual berlangsung pada program Malaysia Revert Camp 2019 di masjid terapung itu tidak boleh diteruskan.
Menurutnya, arahan itu dibuat demi ketenteraman awam dan sensitiviti agama di Malaysia.
Katanya, beliau telah menghubungi Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai cadangan pembatalan ceramah Zakir dan ia katanya, disambut baik mufti.
Cadangan polis itu dibuat bagi meredakan keadaan semasa yang kini dilihat tegang, berikutan kenyataan penceramah kontroversi itu disalah guna pihak tertentu.
“Dinasihatkan supaya pihak penganjur batalkan untuk membenarkan Zakir beri ceramah di negeri Perlis. Di pihak polis, kita tak benarkan.
"Sekarang, buat masa ini, lebih 150 laporan sudah dibuat oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan individu- individu yang tak puas hati dengan Zakir," kata Noor Mushar.
BACA: Dr Zakir akan disekat ke Sabah jika ada unsur ekstremis agama - Shafie
BACA: Polis akan panggil Dong Zong, Koon Yew Yin, Zakir Naik - Muhyiddin
BACA: Polis siasat Dr Zakir Naik
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas yang melibatkan lima jawatan di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.
Mufti sambut baik cadangan pembatalan ceramah
Sementara itu, Pengerusi Penganjur Program Malaysia Revert Camp, Mohd Zamri Vinont yang dihubungi memaklumkan, pihak penganjur bersedia mematuhi nasihat untuk menangguhkan sesi ceramah Zakir dan anak serta isterinya.
Berikutan itu katanya, Zakir berkemungkinan tidak akan hadir ke acara yang akan berlangsung selama tiga hari tersebut.
BACA: Syed Saddiq juga mahu Dr Zakir Naik diusir
BACA: 'Kalau hantar Zakir Naik pulang nanti dia kena bunuh' - Tun M
BACA: Tiada bukti Zakir Naik pengganas - Musa Hassan
Acara Malaysia Revert Camp 2019 yang diiklankan di media sosial, termasuk Facebook penganjur, One Center Malaysia itu, turut dijadual akan disertai anaknya, Fariq, serta beberapa tokoh pendakwah mualaf tempatan.
Selain ceramah, Zakir turut dijadual terlibat dengan sesi soal jawab terbuka pada Sabtu.
#ceramah #India #laporan polis #Malaysia Revert Camp #mualaf #Noor Mushar Mohd #pendakwah #Perlis #tegang #Zakir Naik