KUALA LUMPUR: Golongan kurang upaya penglihatan dan fizikal harus terus diberi tumpuan bantuan tatkala tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

Presiden Yayasan Minda, Tan Sri Ibrahim Abu Shah berkata, bantuan kepada orang kurang upaya (OKU) perlu diutamakan lantaran ramai antara mereka hilang punca pendapatan dan rezeki.

“Ini memandangkan tempoh PKP telah dilanjutkan dan kita mengalami situasi ini hampir setahun.

"PKP ini perlu dilaksana untuk mengekang pandemik COVID-19, jadi ramai dalam kumpulan masyarakat terjejas.

"Paling terkesan adalah warga emas yang uzur termasuk OKU yang tidak mempunyai sumber pendapatan tetap," katanya.

Ibrahim yang juga Presiden Yayasan Minda sebelum itu menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan hasil kerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Solidariti Perpaduan di Shah Alam pada Sabtu.

Ibrahim menegaskan, keluhan OKU yang meminta kerajaan mempertimbang bagi membenarkan perkhidmatan membabitkan golongan itu beroperasi semula dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat haruslah didengar.

"Ada kalangan mereka menjadi tukang urut, tetapi PKP ini menjejaskan pendapatan mereka. Maka SOP yang sesuai harus dirangka untuk golongan ini.

"Kita sentiasa berpegang kepada prinsip memastikan tiada yang terpinggir dalam arus pembangunan negara, pada masa sama meningkatkan kreativiti golongan OKU dengan menyediakan platform lebih baik bagi membantu mereka mendapatkan pekerjaan," katanya.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan harian, kerusi roda dan peranti pemebelajaran kepada murid-murid sekolah rendah dan menengah kepada ahli-ahli Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), warga emas dan cacat fizikal serta ibu tunggal dan golongan keluarga B40 yang berasal dari Shah Alam dan Klang.