SEGAMAT: Nyamuk aedes berwolbachia akan terus dilepaskan secara berperingkat menerusi Projek Pelepasan Nyamuk Berwolbachia di lokaliti-lokaliti yang dikenal pasti mencatatkan peningkatan kes demam denggi.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata sejak dilepaskan pada Julai 2019 sehingga Mei lepas secara berperingkat, 50 juta nyamuk aedes berwolbachia telah dilepaskan ke 28 lokaliti di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Putrajaya, Melaka, Kelantan, Pahang dan Johor.

"Setakat ini lokaliti pelepasan di Selangor adalah yang terbanyak iaitu 10 dan diikuti WPKL (7).

"Pelepasan berterusan akan dilakukan untuk lokaliti sedia ada mengikut jadual ditentukan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sedang memilih lokaliti baharu untuk pelepasan seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program MADANI Afiat Peringkat Negeri Johor dan Gotong Royong Mega Perangi Aedes 2.0 Peringkat Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa di sini hari ini.

Seramai 415 sukarelawan dari MyCHAMPION COMBI dari daerah Segamat dan Hero Kebersihan dari SWCorp, serta agensi kerajaan dan swasta terlibat dalam program pagi ini, yang turut melibatkan aktiviti pemeriksaan kebersihan persekitaran bagi pengawalan demam denggi di kawasan berkenaan.

Dr Zaliha berkata aktiviti pembersihan persekitaran penting memandangkan demam denggi masih menjadi ancaman kesihatan awam di rantau ini termasuk di Malaysia.

"Sejak Januari hingga 12 Ogos lepas, KKM melaporkan 73,680 kes berbanding 33,911 kes pada tempoh yang sama tahun lepas, iaitu peningkatan 117 peratus. Bagi kes kematian pula, 53 kes dilaporkan berbanding 22 kes pada tahun 2022, peningkatan sebanyak 141 peratus.

"Justeru dengan aktivit gotong sebegini, kita akan dapat menghapuskan tempat pembiakan Aedes sebagai usaha mengekang kejadian demam denggi yang boleh menyebabkan kematian," katanya.

Sementara itu beliau berkata Program MADANI Afiat yang keempat dilaksanakan selepas Selangor, Kedah dan Terengganu, ditambah baik dengan turut melibatkan pemeriksaan kolestrol darah di bawah aktiviti Touch Point, iaitu saringan kesihatan dari rumah ke rumah.

"Sebelum ini kita membuat saringan kesihatan yang melibatkan pemeriksaan paras tekanan darah dan paras glukos darah (hemo glucose test-HGT) selain memberi pendidikan kesihatan berkaitan cara hidup yang sihat.

"Namun kali ini dengan bantuan 130 jururawat dari Institut Latihan KKM (ILKKM) Batu Pahat, kita buat juga pemeriksaan paras kolestrol darah dan saringan ini akan diperluaskan ke program MADANI Afiat yang seterusnya," katanya.

-- BERNAMA