KUANTAN: Dua anjing Unit Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Denti dan Frankie menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai hilang ketika mandi di tali air Perkampungan Indera Sempurna di sini.

Pengarah JBPM Pahang Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata anjing pengesan yang berpengalaman dalam pelbagai operasi SAR itu telah dibawa ke lokasi kejadian hari ini, selepas pihaknya mengemukakan permohonan untuk mendapatkan khidmat K9 semalam.

"Operasi SAR bermula sejak 8 pagi tadi dan tumpuan pada setengah hari ini ialah kawasan sekitar lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

"Jika tiada tanda diberikan oleh anjing pengesan, maka kita akan menggerakkan anjing turun (mengikut arus sungai) sehingga Sungai Belat.

"Walaupun tumpuan di lokasi kejadian, namun pasukan penyelamat lain telah bergerak turun lebih awal ke kawasan sepanjang tiga kilometer dari tempat terakhir mangsa dilihat," katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi SAR di sini.

Wan Mohammad Zaidi berkata sebanyak 45 pegawai dan anggota bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam SAR yang masuk hari kedua hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata Muhammad Amirul Haikal Che Jaapa, 14, dikhuatiri lemas sekitar 3.50 petang, selepas dikatakan mandi bersama enam rakan di tali air terletak berdekatan rumahnya.

Mangsa dan rakan didakwa mula mandi pada 3.10 petang dan naik ke tebing selepas menyedari paras air semakin dalam, namun mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Kilau di sini dikatakan tergelincir jatuh dan hanyut dibawa arus.

Operasi SAR diaktifkan petang semalam, sebelum dihentikan sekitar 7 petang berikutan cuaca hujan dan arus deras.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Mohammad Zaidi meminta ibu bapa untuk mengawasi anak-anak mereka daripada melakukan aktiviti melibatkan air termasuk di longkang sepanjang cuti sekolah ini, memandangkan Monsun Timur Laut telah bermula dan dijadualkan sehingga Mac depan.

Sementara itu bapa mangsa, Che Jaapa Che Endut, 61, tidak menyangka anak bongsu daripada tujuh beradik itu mandi di tali air tersebut kerana sering diingatkan untuk tidak ke situ memandangkan dirinya tidak pandai berenang.

Pesara kerajaan itu berkata anaknya juga keluar rumah lebih awal semalam, iaitu pada 3 petang atas alasan hendak ke rumah kawan berbanding kelaziman pada 5 petang untuk bermain bola sepak, sebelum dia dimaklumkan orang ramai bahawa anaknya lemas.

"Selalu saya berpesan jangan main kat air... dari dulu sudah pesan jangan mandi walaupun air tiada (kering).

"Saya reda dengan kejadian. Allah dah beri pinjam anak selama 14 tahun. Saya hanya harap dia ditemukan, saya nak jumpa sahaja," katanya.

-- BERNAMA