GEORGE TOWN: Mahkamah Sesyen George Town hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas seorang wanita warga Indonesia selepas didapati bersalah mendera seorang kanak-kanak berumur setahun pada tahun lepas.

Hakim Mazdi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ellis Andreyani, 47, mengaku salah terhadap pertuduhan dera tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, Ellis yang yang tinggal di negara ini selama tujuh tahun didakwa mendera seorang kanak-kanak lelaki berumur satu tahun sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Utama Minden Heights, Gelugor, antara jam 10 pagi hingga 3 petang pada November tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Semasa prosiding berlangsung, mahkamah menayangkan semula rakaman video yang menunjukkan Ellis mendera kanak-kanak berkenaan dan tertuduh mengesahkan bahawa kejadian itu benar.

Tertuduh memohon atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Rais Imran Hamid memohon mahkamah memberi hukuman yang setimpal sebagai pengajaran dan iktibar kepada tertuduh dan masyarakat.

Mazdi kemudiannya menetapkan Ellis perlu menjalani hukuman penjara selama dua tahun, bermula dari tarikh tangkapan pada 8 Disember 2021.

Baru-baru ini, tular sebuah klip video di Twitter mengenai seorang wanita dipercayai pengasuh menampar pipi seorang kanak-kanak yang hanya memakai lampin dengan kuat termasuk menarik tangan kanak-kanak terbabit.

Pemilik akaun Twitter terbabit turut mendakwa laporan polis sudah dibuat tetapi tiada tindakan diambil kerana polis mendakwa wanita terbabit mengalami masalah mental.

Ellis sebelum ini sedang menjalani hukuman di bawah Akta Imigresen di Depoh Tahanan Imigresen di Juru kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.