KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini sedang melaksanakan pembinaan empat pos kawalan imbangan di sempadan Sarawak-Kalimantan yang dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun 2022.

Menurut MenterI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ia sebagai usaha kerajaan dalam melindungi keselamatan sempadan Sarawak-Kalimantan terutama setelah ibu kota negara Indonesia dipindahkan ke Borneo.

‘’ATM sedang melaksanakan pembinaan empat pos imbangan iaitu Pos Padang Pan di Bahagian Kuching, Pos Sungai Paoh di Bahagian Serian, Pos Batu Kaya di Bahagian Sri Aman dan Pos Tapak Megah di Bahagian Kapit.

‘’Pembinaan pos imbangan ini dijangka akan siap sepenuhnya pada awal tahun 2022,’’ ujarnya semasa menggulungkan perbahasan titah Diraja Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Empat pos imbangan sedang dibina di sempadan Sarawak - Kalimantan


Selain itu ujarnya, seramai 495 anggota telah diaturgerak dalam penugasan operasi teras di perbatasan Sarawak.

Ia bertujuan untuk membanteras segala aktiviti pencerobohan dan penyusupan melalui pengawasan dan kawalan rapi di sempadan dan meliputi Operasi AWAS/KERISPARANG, Operasi JAGAKAWAN dan Operasi KERANGKA.

Antara lain, Hishammuddin berkata, sepuluh lagi pos imbangan di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan akan dibina menjelang tahun 2022.

Penambahan ini antara lain bagi memperkukuhkan kawalan sempadan dan kerjasama melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI).

‘’Saya ingin menjelaskan bahawa ATM juga sedang merancang untuk membina 10 lagi pos imbangan di sempadan Sarawak-Kalimantan pada tahun 2022.

‘’Pembinaan pos-pos imbangan tersebut adalah bagi mengimbangi pos-pos kawalan TNI seterusnya memperkukuhkan lagi kawalan sempadan Sarawak-Kalimantan.

‘’Dalam masa yang sama ATM juga menjalinkan kerjasama dengan TNI di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan melalui operasi gabungan antara TDM dengan TNI di enam penempatan pos-pos gabungan,’’ tambahnya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni dan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Mereka sebelum ini menyentuh isu melibatkan usaha Kerajaan dalam melindungi keselamatan sempadan Sarawak-Kalimantan terutama setelah ibu kota negara Indonesia dipindahkan ke Borneo dan jaringan keselamatan di laluan sepanjang Sarawak-Kalimantan (Sarawak-Kalimantan Border Security Alignment).

*Jom kita pantau apa Ahli Parlimen buat pada 13 hingga 15 September; 20 hingga 23 September; 27 hingga 30 September; 4 hingga 7 Oktober; dan 10 hingga 11 Oktober di sini.