KUALA LUMPUR: Isu rakyat Malaysia yang terkandas di Ukraine dijangka menjadi antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan mengenai isu berkenaan akan dibangkitkan semasa waktu pertanyaan-pertanyaan menteri.

Persoalan berkenaan sama ada kerajaan menyedari bahawa ramai rakyat Malaysia terkandas di Ukraine ataupun tidak akan diajukan oleh M. Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) kepada Menteri Luar Negeri.

Pada masa sama, beliau ingin tahu apakah jenis bantuan yang telah dan akan disalurkan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Ukraine.

Antara persoalan lain yang dijangka menjadi tumpuan termasuk, setakat manakah kementerian telah berjaya menyediakan projek perumahan mampu milik yang konklusif, praktikal dan mapan khususnya bagi golongan muda (berumur 25-35 tahun).

Persoalan oleh Mohd Fasiah Mohd Fakeh (PN-Sabak Bernam) kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu turut bertanyakan setakat manakah sambutan golongan muda ke atas projek perumahan PR1MA seluruh negara.

Selesai sesi tesebut, ia akan diteruskan dengan pertanyaan bagi jawab lisan.

Isu peningkatan kes orang awam menyamar sebagai anggota polis untuk mengambil kesempatan dijangka menjadi tumpuan pada sesi tersebut.

Soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) kepada Menteri Dalam Negeri adalah bagi memastikan maruah dan imej pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbela.

Ia diikuti persoalan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) yang meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menyatakan apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) untuk memastikan kawalan harga munasabah ke atas barang keperluan seperti telur, ayam, minyak masak serta sayuran.

Juga apakah strategi jangka pertengahan dan panjang untuk memastikan sekuriti makanan negara terjamin.

Antara persoalan yang dijangka akan menjadi fokus termasuk perancangan untuk memastikan perlindungan kepada kanak-kanak yang divaksin dan kemudiannya mempunyai kesan sampingan serius.

Soalan oleh Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) kepada Menteri Kesihatan berkenaan adakah sebarang kajian rasmi kementerian yang diguna pakai dan dirujuk terutamanya dalam aspek keberkesanan vaksin menghalang penularan virus COVID-19.

Selesai sesi berkenaan, persidangan Dewan Rakyat akan bersambung semula dengan sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja.

Sidang Dewan Rakyat hari ini juga akan menyaksikan bacaan kali kedua berkenaan Rang Undang-Undang Pencegahan dan
Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021.

Ia dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Disember tahun lepas.

Persidangan kali kedua ini akan berlangsung selama 16 hari bermula 28 Feb sehingga 24 Mac, dan seperti sebelum ini ia dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebagai usaha meminimumkan risiko jangkitan COVID-19 di Parlimen.