KUALA LUMPUR: Topik Menu Rahmah menimbulkan pertikaman lidah antara blok pembangkang dengan seorang Ahli Parlimen Kerajaan di Dewan Rakyat hari ini.

Ia selepas Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mendakwa Halimah Ali (PN-Kapar) mengeluarkan kenyataan bahawa Menu Rahmah boleh memberi risiko kesihatan seperti kanser dan autisme.

Begitu pun, beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Halimah bangkit menyangkal tuduhan tersebut sebagai tidak benar sama sekali.

Sebelum itu, Sany bangkit ketika Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) membahaskan usul Titah Diraja, dan menyentuh mengenai inisiatif Menu Rahmah yang dilaksanakan oleh kerajaan.

"Menu rahmah yang digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) oleh Kerajaan Madani ialah satu usaha untuk membantu rakyat di bawah. Kita doakan sama-sama agar Menu Rahmah ini berpanjangan dan boleh membantu masyarakat negara kita.

"Saya setuju sangat dengan Padang Serai, kalau tak setuju (inisiatif Menu Rahmah) tak apa, dia bantah. Tetapi jangan jadi macam Kapar (Halimah) yang buat cerita tak betul. Mana dia dapat (maklumat) Menu Rahmah ini (menyebabkan) orang kena kanser dan autisme?

"Sebab itu saya minta Kapar kena tarik (kenyataan). Dia buat fitnah dalam Dewan yang mulia ini...," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Sidang Parlimen | Dewan Rakyat kecoh kerana Menu Rahmah


Halimah kemudian bangkit dan berkata: "Apa yang disebut oleh Hulu Langat itu tidak betul... Cuba tengok hansard, saya tidak ada pun kata Menu Rahmah ini menyebabkan kanser."

Beberapa Ahli Parlimen pembangkang turut 'menyerang' Sany dengan menuduh beliau tidak faham, selain memintanya 'pergi ke sekolah'.

"Sekolah dulu... tak faham. Hulu Langat yang tak faham," kata Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar).

Halimah turut meminta Sany supaya meneliti semula apa yang diperkatakan oleh beliau dengan 'hati yang bersih'.

"Semak betul-betul dan dengar dengan hati yang bersih. Insya-Allah jelas," katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul menyarankan agar Sany mencabar di luar Dewan Rakyat, jika merasakan kenyataan yang dibuat oleh Halimah mempunyai unsur fitnah.

Pada awal Januari lalu, KPDN melancarkan Menu Rahmah yang menawarkan hidangan makan tengah hari atau makan malam berharga RM5 sepinggan di 15,000 premis menjual makanan yang menyertainya di seluruh negara.

Menu itu terdiri daripada hidangan seimbang yang merangkumi nasi putih, satu pilihan protein sama ada ayam atau ikan, dan sayur yang ditawarkan kepada mereka yang terjejas akibat kenaikan kos sara hidup ketika ini.