KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan memaklumkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) adalah tindakan wajar dan perlu bagi memastikan inflasi terkawal serta ekonomi terus mapan walaupun kenaikan tersebut akan memberi kesan kepada peminjam dan penyimpan.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kenaikan OPR baru-baru ini tidak menyebabkan semua peminjam terkesan kerana peningkatan kepada ansuran bulanan hanya melibatkan peminjam yang mempunyai pinjaman jenis berkadar terapung. 

"Setakat Disember 2022, sebahagian peminjam iaitu 50.3 peratus daripada jumlah akaun pinjaman dalam sektor isi rumah adalah pinjaman berkadar tetap berjumlah 6.4 juta akaun.

"Bagi peminjam berpendapatan rendah iaitu pendapatan kurang dari RM5,000 sebulan termasuk golongan B40, dianggarkan sebanyak 54.8 peratus daripada jumlah akaun pinjaman adalah berasaskan kadar tetap melibatkan 3.5 juta akaun. 

"Perlu dipertekankan, walaupun kenaikan OPR ini akan memberi kesan kepada peminjam dan penyimpan, langkah ini adalah wajar dan perlu bagi memastikan inflasi terkawal dan ekonomi terus mapan.

"Ekonomi yang sihat dan keadaan harga yang lebih stabil akan memberi limpahan yang lebih baik kepada semua rakyat," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Adakah OPR akan dinaikkan masa akan datang? Kita tunggu - Ahmad Maslan


Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada kerajaan melaksanakan kajian terhadap kesan kenaikan OPR terhadap golongan B40 yang terhimpit oleh kesan kenaikan kadar bayaran pinjaman bulanan yang semakin tinggi.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pontian itu berkata kenaikan OPR sebanyak 100 mata asas mencerminkan pengembalian tahap akomodasi dasar monetari ke tahap yang wajar berikutan pengurangan sebanyak 125 mata asas semasa pandemik.

Oleh itu, bagi pinjaman berkadar terapung yang diambil sebelum pandemik, beliau berkata sebahagian besar daripada jumlah pinjaman terkumpul dan jumlah ansuran bulanan pada masa ini masih lebih rendah berbanding jumlah ansuran sebelum pandemik iaitu tiga peratus.

"Bagi golongan peminjam mudah terjejas yang masih menghadapi kesukaran akibat kenaikan jumlah ansuran pinjaman, pelbagai program bantuan masih tersedia.

"Antara bantuan tersebut adalah bantuan bayaran balik pinjaman secara bersasar oleh bank, khidmat nasihat dan bantuan program AKPK iaitu Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, silalah lihat portal www.akpk.org.my," katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) sama ada akan berlaku kenaikan OPR, Ahmad meminta semua pihak agar menunggu pengumuman sama ada ia akan dinaikkan atau sebaliknya.

Pada mesyuarat MPC terakhir pada Januari 2023, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar utama itu pada 2.75 peratus selepas membuat kenaikan 100 mata asas kumulatif sejak Mei 2022.

Ia selepas kenaikan OPR empat kali berturut-turut sejak tahun lalu bermula Mei, Julai, September dan November lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.