KUALA LUMPUR: Persoalan sama ada keperluan mewujudkan akta berhubung dengan isu pembaziran makanan di Malaysia yang setiap tahun semakin membimbangkan antara isu dijangka menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, soalan itu akan diajukan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Antara lain, persoalan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang ingin penjelasan berkenaan bagaimanakah semangat bipartisan dapat dipupuk dan diamalkan dalam kalangan pemimpin negara berbilang fahaman kerana pemimpin adalah contoh  terbaik model perpaduan dan pertelagahan pemimpin mengarah kepada kehancuran negara.

Persoalan tersebut diajukan kepada Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Turut dijangka menjadi tumpuan, penjelasan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkenaan apakah penyelesaian kementerian dalam mengurangkan kadar pengangguran negara seperti paras prapandemik pada kadar 3.5 peratus.

Soalan tersebut akan diajukan oleh Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Shahruddin Md Salleh.

Persoalan berkenaan apakah usaha dan bajet yang sedang digerakkan untuk meningkatkan lagi kadar vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun memandangkan kadar semasa kanak-kanak yang lengkap divaksin adalah sangat rendah juga turut tersenarai bagi sesi pertanyaan jawab lisan.

Persoalan tersebut akan diajukan oleh Ahli Parlimen Subang Wong Chen, kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Tamat sesi itu, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan menyambung semula sesi perbahasan Rang Undang-Undang Kastam (Pindaan) 2022.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini yang bermula pada 18 Julai lepas berlangsung selama 12 hari hingga Khamis ini.