KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat melalui undian suara pada Isnin.

Rang undang-undang tersebut dibentangkan bagi bacaan kedua dan ketiga dibacakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh, mencadangkan hakim diberikan kuasa budi bicara dalam menjatuhi hukuman.

Rang undang-undang itu juga mencadang membenarkan hakim pilihan mengenakan hukuman penjara sehingga 40 tahun menggantikan hukuman mati mandatori.

Ramkarpal berkata, Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 adalah suatu akta 'omnibus' kerana merangkumi pindaan kepada Kanun Keseksaan, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Kanun Tatacara Jenayah.

Ia adalah untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman yang berhubungan dengan pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan dan mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengannya.

"Hukuman mati mandatori adalah antara hukuman yang dianggap sebagai kaedah di mana keadilan dapat dicapai terutamanya apabila membabitkan kesalahan kejam.

"Namun tiada kajian lanjut yang dapat membuktikan bahawa hukuman mati adalah langkah pencegahan jenayah terbaik atau berkesan.

"Keberkesanan hukuman mati sebagai satu bentuk pencegahan tidak dapat dipastikan memandangkan terdapat banyak faktor yang mempengaruhi bilangan pendakwaan atau kadar jenayah," katanya ketika membentangkan RUU itu.

Dalam masa sama, beliau berkata, pemansuhan hukuman mati mandatori adalah satu bentuk pemulihan supaya mereka dapat kembali ke masyarakat dan menjadi individu yang dapat berkhidmat kepada keluarga dan negara selepas selesai menjalani hukuman.

Justeru, keputusan kerajaan berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori dilihat sebagai langkah yang tepat dalam usaha kerajaan untuk mewujudkan sistem perundangan yang dinamik, progresif dan relevan dengan keperluan semasa.

"Bagaimanapun, hukuman gantian kepada hukuman mati mandatori perlu setimpal dengan keseriusan jenayah yang telah dilakukan oleh pesalah dan tidak mengakibatkan ketidaksesuaian dengan hukuman lain yang kurang serius.

"Justeru, hukuman pemenjaraan bagi suatu tempoh berserta dengan sebatan dilihat sebagai hukuman gantian yang paling bersesuaian terhadap 11 kesalahan yang membawa kepada hukuman mati mandatori ini.

"Kombinasi hukuman pemenjaraan dan sebatan adalah wajar supaya dilihat sebagai hukuman yang lebih berat berbanding hukuman untuk jenayah lain," katanya.

Sembilan ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan RUU berkenaan.

Mereka terdiri daripada lima ahli parlimen blok pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) iaitu Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang), Latiff Abdul Rahman (PN - Kuala Krai), Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena),dan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau).


Manakala empat lagi dari blok kerajaan iaitu Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh), M.Kulasegaran (PH-Ipoh Barat), Abdul ; Chiew Choon Man (PH-Miri), dan RSN Rayer(PH-Jelutong).