KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) memberikan keadilan kepada orang yang ditahan dalam mendapatkan hak dari segi undang-undang.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, SOSMA juga tidak boleh disamakan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan oleh kerajaan pada 2012.

SOSMA, jelas beliau, menyediakan peruntukan-peruntukan yang menghormati hak individu seperti termaktub di Seksyen 5 iaitu membenarkan orang yang ditahan untuk berunding dengan pengamal undang-undang pilihan mereka dan peluang jaminan sekiranya memenuhi kriteria.

"Kita tidak perlu membuat perbandingan antara Akta Kesalahan Keselamatan (ISA) 1960 dan SOSMA 2012. Banyak perbezaan dan perkara-perkara yang digubal untuk membuktikan SOSMA adalah satu akta memberi peluang dan hak yang cukup untuk orang tahanan dari sudut undang-undang.

"Jika kita ingin berhujah mengenai konsep keadilan, seperti yang saya tegaskan, akta ini juga memberikan keadilan buat orang yang ditahan seperti peluang untuk berjumpa peguam dan kes-kes kesalahan keselamatan ini juga dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

"Perlu diingat, keadilan perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas... saya nak maklumkan keadilan perlu dilihat dalam konteks yang lebih dan keselamatan negara serta rakyat secara keseluruhan adalah sesuatu yang perlu diberi keutamaan.

"Kita tidak boleh berkompromi dengan anasir-anasir yang mengancam keselamatan negara dan tugas pihak PDRM serta semua agensi keselamatan dalam negara adalah bagi memastikan negara ini aman dan selamat untuk didiami," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Hamzah (Bersatu-Larut) berkata demikian ketika membentangkan semula Subseksyen 4(5) SOSMA di Dewan Rakyat untuk bacaan kali kedua.

Minggu lepas, KDN berjaya membatalkan keputusan Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu, yang menolak usul melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA untuk lima tahun lagi.

Mencadangkan lagi, Hamzah berkata, di bawah Subseksyen 4(3) pula dinyatakan dengan jelas bahawa tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen tersebut semata-mata atas kepercayaan politik atau aktiviti politiknya.

Bagaimanapun, kata Hamzah, ia tidak bermakna seseorang ahli politik itu kebal daripada siasatan di bawah SOSMA dan boleh diambil tindakan jika didapati melakukan kesalahan.

Sementara itu, menyentuh isu tahanan tanpa bicara, Hamzah menjelaskan, SOSMA mengkehendaki orang yang ditahan perlu dituduh jika bukti mencukupi.

Perkara itu, katanya, dinyatakan di dalam Seksyen 12 SOSMA iaitu semua kesalahan keselamatan hendaklah dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi.

Tempoh 28 Hari

Mengenai tempoh masa 28 hari untuk melakukan siasatan, Hamzah sekali lagi mengulangi bahawa ia sangat penting kerana pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan masa terutamanya bagi meyakinkan saksi-saksi untuk memberikan pernyataan

Begitupun, beliau berkata, secara realitinya pihak polis hanya mempunyai tempoh 21 hari untuk membuat penyiasatan memandangkan kertas siasatan yang telah lengkap perlu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam tempoh seminggu sebelum 28 hari.

"Sekiranya berdasarkan penilaian oleh Jabatan Peguam Negara terdapat bukti-bukti yang menyokong penglibatan seseorang yang ditangkap, maka tindakan pendakwaan di mahkamah akan dibuat.

"Dalam tempoh siasatan tersebut juga, pihak polis perlu mengkaji segala maklumat hasil siasatan mahupun mendapatkan maklumat dari agensi-agensi penguatkuasa yang lain seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Tempoh ini amat kritikal di mana agensi yang dirujuk tersebut perlu membekalkan maklumat yang diperlukan oleh pihak polis di dalam tempoh yang ditetapkan iaitu sebelum tamatnya 21 hari siasatan.

"Tambahan pula, tangkapan yang melibatkan kesalahan- kesalahan seperti penyeludupan migran dan keganasan memerlukan kerja-kerja penyiasatan yang lebih mendalam dan terperinci sekaligus menjadi lebih rumit berikutan golongan ini mempunyai rangkaian luar negara serta ideologi tersendiri," ujar beliau lagi.

Justeru, Hamzah menegaskan, kes merentasi sempadan itu memerlukan bantuan dari negara luar bagi tujuan pengumpulan maklumat dan permohonan tersebut memerlukan masa yang lama.