PUCHONG: Penggunaan Sistem Pengurusan Maklumat Geospatial Pertahanan (DGIM) dijangka mampu memastikan pengurusan bencana banjir yang lebih sistematik di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sistem itu kini sedang digunakan bagi memantau Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang melanda.

Menurutnya, sistem melalui pengoperasian 'dashboard' bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu bukan sahaja mengintegrasi data spatial agensi berkaitan, malah membabitkan bantuan disediakan badan bukan kerajaan (NGO) di kawasan terjejas.

Tambah beliau, antara agensi berintegrasi dengan DGIM adalah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

Ujarnya, agensi itu menyediakan pelbagai data seperti jumlah penduduk di sesuatu kawasan, jenis guna tanah, kawasan 'hotspot' banjir, kawasan cerun berisiko dan pelbagai informasi berkaitan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Semua data ini kita integrasikan dalam satu platform, sistem DGIM tersebut yang kemudiannya, melalui sistem DGIM yang telah kita telah integrate GIS (Geographic Information System) maka kita ada ‘dashboard’ bencana.

“Kita mulakan di peringkat pusat dan selepas ini, sistem ini akan kita panjangkan untuk kegunaan di peringkat negeri dan daerah.

“Ia adalah untuk membolehkan bukan hanya perancangan itu dari ‘Top to Down’, tapi mereka di peringkat daerah dan negeri juga boleh membuat perancangan lebih berkesan mengikut lokaliti masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi libat urus bersama media dan rakan NADMA di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), NADMA Malaysia di Puchong, pada Khamis.

Armizan berkata, DGIM yang dibangunkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) kini diguna pakai di Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) dan beroperasi selama 24 jam.

Jelasnya lagi, sebuah Kumpulan Kerja Geo-Dataraya Pengurusan Bencana telah ditubuhkan pada bulan lalu bagi meningkatkan lagi keupayaan DGIM dalam mengintegrasi data spatial dari pelbagai agensi.

Ia sekali gus memudahkan perkongsian data dan kepakaran pelbagai agensi, membabitkan 11 agensi, antaranya Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Kerja Raya (JKR), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).