KUCHING: Polis telah melanjutkan tempoh tahanan reman pasangan penjaga kanak-kanak berusia empat tahun, Eric Chang Wei Jie yang dipercayai dibunuh dan dilaporkan hilang sejak 7 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, lanjutan tahanan reman itu dibuat pihaknya bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Untuk kes ini, kita telah sambung tempoh reman sehingga 24 Mac depan,” katanya, secara ringkas menerusi aplikasi pesanan ringkas, WhatsApp.

Astro AWANI turut difahamkan proses permohonan lanjutan tempoh reman dibuat secara dalam talian di Balai Polis Tabuan Jaya.

BACA: Di mana mayat Eric Chang?

BACA: Polis Kuching mohon lanjutan reman berhubung kes pembunuhan Eric Chang

Sebelum ini, polis mengklasifikasikan kehilangan Eric sebagai kes bunuh yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan menahan empat individu termasuk ibu-bapa kanak-kanak berkenaan.

Namun, mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Memasuki hari kelima operasi mencari dan menyelamat (SAR), pihak keselamatan masih belum menemui sebarang petunjuk.

Jenayah | Operasi cari mayat Eric diteruskan

“Hari kelima operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak malang itu diperluaskan di kawasan pesisir dalam jarak 1 hingga 1.5 km.

“Kita melakukan operasi SAR ini melalui jalan darat berikutan keadaan air yang masih surut,” menurut Komander Operasi, Mohamad Meramit, dalam satu kenyataan, di sini pada Khamis

Hari ini, lebih 30 anggota keselamatan dikerahkan semasa operasi SAR melibatkan pihak Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Operasi juga melibatkan unit anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak (JBPS) dan seorang penduduk kampung sebagai penunjuk arah.