KUALA LUMPUR: Farm Fresh Bhd. akan menaikkan harga produk sedia diminum (RTD) sejuknya kira-kira 5% mulai Julai ini bagi mengimbangi tekanan margin ekoran kenaikan harga jualan purata (ASP) susu mentah yang lebih tinggi, demikian menurut Maybank Investment Bank.  

Dalam taklimat prestasi kewangan suku keempat dengan penganalisis baru-baru ini, kumpulan memaklumkan ASP susu mentah kemungkinan meningkat antara 10 hingga 11% mulai 1 Julai 2022 bagi tempoh selama setahun.

"Kami difahamkan kesan bersih daripada kenaikan ini adalah dianggarkan 2 hingga 3% kepada kenaikan kos jualan.

"Oleh itu, Farm Fresh akan menaikkan harga bagi rangkaian produk RTD sejuknya sebanyak 5% di Malaysia (mulai 15 Julai) dan Singapura (1 Ogos) yang akan mengurangkan tekanan kos tambahan daripada susu mentah pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23)," jelasnya dalam nota kajian hari ini.

Pada masa sama, Farm Fresh juga akan merumuskan semula komposisi makanannya bagi mengurangkan tekanan kos daripada bahan makanan utama seperti jagung dan alfalfa.

Di sebalik kenaikan harga itu, Maybank bagaimanapun menjangkakan momentum positif Farm Fresh Bhd. akan lebih mengukuh pada FY23.

Prestasi positif itu akan dipacu pelancaran produk baharu dan juga penyertaan kumpulan dalam pasaran serantau yang lebih meluas.

"Antara produk baharu itu termasuklah Yarra bagi kategori UHT dengan harga yang lebih kompetitif berbanding yang ditawarkan pemain industri lain dan juga susu untuk tumbesaran kanak-kanak dalam bentuk cecair yang akan dikeluarkan pada Julai 2022,

"Selain itu, kuantiti yang akan dibekalkan di bawah kontrak program susu sekolah juga telah ditambah kepada 74 juta pek (daripada 42 juta pek sebelum ini)," katanya.

Sehubungan itu, Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' terhadap Farm Fresh dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.95 sesaham.

Pada suku keempat berakhir 31 Mac 2022, Farm Fresh merekodkan pendapatan dan keuntungan masing-masing sebanyak RM128.1 juta dan RM17.7 juta, meningkat 9.8% dan 54.3% berbanding suku sebelumnya.

Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Mac 2022, hasil dan untung bersih kumpulan masing-masing meningkat 2.3% dan 139.3% tahun ke tahun kepada RM501.9 juta dan RM78.6 juta.

Peningkatan hasil terutamanya disebabkan pengambilan pelanggan baharu yang lebih tinggi dalam pasaran Malaysia, jualan produk susu RTD yang lebih tinggi dan pelancaran produk baharu.

Kumpulan juga melaporkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM79.9 juta, peningkatan sebanyak 120.5% pada asas tahun ke tahun.

Setakat 12.16 tengah hari ini, harga sahamnya susut 1 sen atau 0.6% kepada RM1.67 dengan 623,600 saham diniagakan.