Kontroversi diantara DBP dengan Dawama Sdn Bhd telah lama berlangsung dan dipaparkan di dada akhbar dan akhirnya kontrak konsesi tersebut bersama DBP telah pun tamat dan tidak dilanjutkan seperti yang dicadangkan.

Berikut merupakan kenyataan media daripada pihak DBP:

Dimaklumkan bahawa keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 28 Mei 2014 telah memutuskan tempoh konsesi penswastaan Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Dawama Sdn. Bhd. Tidak dilanjutkan. Perjanjian Konsesi ini tamat tempoh kuat kuasanya pada 31 Ogos 2014. Selepas dari tarikh yang berkenaan, pihak Dawama Sdn. Bhd. Tidak lagi mempunyai apa-apa hak atau obligasi lanjut yang berbangkit daripada Perjanjian Konsesi yang berkenaan. Bermula dari 1 September 2014, semua aktiviti reka bentuk, atur huruf, pencetakan, pengedaran dan pemasaran bahan-bahan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka akan dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka selaras dengan keperluan dan kehendak Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 (Disemak – 1978) [Akta 2013] dan berdasarkan peraturan-peraturan Kerajaan yang berkuat kuasa ke atasnya. Aktiviti reka bentuk. Atur huruf, pencetakan, pengedaran dan pemasaran bahan-bahan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka akan dilaksanakan melalui kaedah penyumberan luar mengikut tatacara perolehan yang ditetapkan. - Dewan Bahasa Pustaka

Dawama Sdn Bhd ditubuhkan pada 14 Oktober 1999 dan telah memulakan operasinya sepenuhnya pada 1 September 2002. Dawama Sdn.Bhd.(Dawama), ditubuhkan untuk mengambilalih aktiviti-aktiviti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diswastakan iaitu pra-cetak, rekabentuk, percetakan, pengedaran dan pemasaran penerbitan DBP seperti yang terkandung dalam dokumen Perjanjian Konsesi.

Syarikat ini mendapat kontrak 12 tahun dengan Kementerian Pelajaran dan dijangka berakhir pada tahun 2014. Dawama diwujudkan dengan tujuan untuk meningkatkan ekuiti bumiputera sebanyak tiga puluh peratus (30%) langsung menjaga kepentingan pengusaha bumiputera.

Kontroversi syarikat konsesi itu bermula apabila Dawama yang diberi peranan mengedar, mencetak dan memasarkan buku terbitan DBP gagal melaksanakan tugasnya. Sebaliknya syarikat ini telah mengakibatkan banyak pihak teraniaya, termasuklah pelanggan buku-buku DBP yang tidak mendapat produk berkualiti, khidmat yang seringkali tertunda; syarikat pencetak, pengedar dan pengangkutan yang gulung tikar serta pekerja yang hilang mata pencarian.

Apabila berita mengenai syarikat konsesi ini mengalami kerugian didedahkan, timbul persoalan dari banyak pihak yang menyuarakan ketidakpuasan hati. Hal ini kerana syarikat ini diberi kontrak selama 12 tahun oleh DBP yang bernilai 120 juta setahun, oleh itu mana mungkin syarikat itu boleh mengalami kerugian. Malah syarikat itu turut berhutang kepada pengusaha Melayu dan akhirnya tunggakan tersebut dibayar oleh DBP namun masih ada pihak yang terlibat belum mendapat bayaran.

Sebelum kewujudan Dawama, DBP mengamalkan konsep payung kepada beberapa syarikat percetakan untuk diberi tugas mencetak buku teks. Konsep ini ternyata berjaya kerana tidak ada masalah timbul dan ini juga banyak membantu syarikat percetakan terutama bumiputera mendapat peluang. Tetapi selepas penswastaan, Dawama menjadi induk kepada beberapa syarikat lain.

Ekoran sikap lepas tangan syarikat tersebut, kerajaan pula perlu menanggung kerugian dan lebih daripada itu terpaksa berdepan dengan kritikan masyarakat. Bukankah ini suatu yang pelik kerana Dawama tidak ada persaingan, termasuklah daripada syarikat bukan bumiputera untuk mencetak, mengedar dan memasarkan buku teks ke seluruh negara dan hanya syarikat ini sahaja yang diberi hak oleh DBP.

Banyak pengajaran boleh dipelajari daripada permasalahan yang timbul ekoran perlantikan syarikat konsesi itu dan syukur kerana DBP tidak lagi menyambung kontrak bersama Dawama Sdn Bhd dan membuka peluang kepada syarikat-syarikat percetakan, pengedaran dan pemasaran yang lebih dipercayai dan berintegriti dalam menjalankan tugas yang digalas mereka.