Skip to main content

Malaysia

Di sebalik perbarisan, ada makna kemerdekaan - ATM

PUTRAJAYA, 27 Ogos - Panglima 4 Divisyen Tentera Darat Malaysia Mejar Jeneral Mohd Shauari Mat Piah meninjau Raptai Perbarisan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya, hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohd Shauari berkata penglibatan pelbagai agensi termasuk pasukan keselamatan dalam perbarisan dan perarakan itu, turut memperlihatkan kebersamaan mereka sebagai sebahagian daripada warga pertahanan negara. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan bukan sekadar acara istiadat tahunan, sebaliknya menjadi wadah menghimpunkan pelbagai agensi dan lapisan masyarakat dalam menyemarakkan semangat patriotisme serta memperkukuh perpaduan.

Panglima 4 Divisyen Tentera Darat Malaysia yang juga Ketua Penyelaras Jawatankuasa Perarakan dan Perbarisan Hari Kebangsaan 2026 Mej Jen Mohd Shauari Mat Piah berkata penglibatan pelbagai organisasi dalam acara itu, mencerminkan kebersamaan masyarakat dalam menghayati erti kemerdekaan serta menghargai pengorbanan generasi terdahulu.

“Bila kita bersama-sama dengan satu niat yang sama tidak kira bangsa, kaum dan keturunan kita akan bersatu melihat perkara yang disampaikan dan disediakan oleh kerajaan,” katanya kepada Bernama dalam wawancara eksklusif sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Mohd Shauari berkata penglibatan pelbagai agensi termasuk pasukan keselamatan dalam perbarisan dan perarakan itu, turut memperlihatkan kebersamaan mereka sebagai sebahagian daripada warga pertahanan negara.

Beliau berkata aspek disiplin dan tradisi ketenteraan, turut menjadi antara elemen penting dalam acara berkenaan, khususnya menerusi perbarisan panji-panji serta kawalan kehormatan yang dilaksanakan dengan penuh tertib dan adab.

Mohd Shauari berkata sambutan Hari Kebangsaan juga menjadi ruang untuk generasi masa kini menghayati nilai kemerdekaan, serta memahami pengorbanan besar pejuang terdahulu dalam membebaskan negara daripada penjajahan.

“Betapa susahnya pejuang dahulu mendapatkan kemerdekaan sampai bertarung nyawa dan juga ada yang meninggal dunia,” katanya.

Mengulas mengenai pandangan negatif yang dilontarkan di media sosial supaya orang ramai tidak menghadiri sambutan Hari Kebangsaan, beliau berkata masyarakat perlu mengingati perjuangan generasi terdahulu yang berkorban demi memastikan negara mencapai kemerdekaan.

Mohd Shauri berkata sambutan Hari Kebangsaan merupakan antara ruang penting untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan semua generasi, selain mengingatkan masyarakat mengenai nilai kebebasan dan keamanan yang dinikmati hari ini.

“Apa yang kita kecapi hari ini, kita boleh tidur lena di rumah, kita boleh belajar, kita boleh bekerja disebabkan oleh perjuangan orang terdahulu,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” dijadualkan bermula 8 pagi esok di Dataran Putrajaya dengan penyertaan 10,819 peserta perbarisan melibatkan 76 kontinjen dan 22 pasukan pancaragam.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement