KUALA LUMPUR: Dialog Negara Bangsa: Integrasi nasional pendekatan terbaik satukan masyarakat majmuk
Integrasi nasional perlu terus menjadi pendekatan utama dalam membentuk perpaduan rakyat Malaysia tanpa mengetepikan identiti, budaya dan latar belakang setiap kaum.
Lembaga Pengarah Yayasan Kita Anak Malaysia, Prof Madya Dr Sara Chinnasamy berkata pendekatan itu lebih sesuai dengan konteks sejarah dan pembentukan negara berbanding asimilasi yang menuntut kelompok minoriti menerima budaya kelompok majoriti.
Menurutnya, sejarah penjajahan British menerusi dasar pecah dan perintah telah mewujudkan pemisahan masyarakat mengikut kaum dan kawasan penempatan, sekali gus memberi kesan terhadap usaha menyatupadukan rakyat selepas kemerdekaan.
“Jadi, kena tahu fakta sejarah bagaimana (pemimpin) kita mendapatkan kemerdekaan. Kita merupakan bangsa bekas jajahan British yang melalui dasar pecah dan perintah dengan orang Melayu ditempatkan di kawasan perkampungan, orang India di estet-estet dan orang Cina pula di kawasan bandar.
“Selepas mencapai kemerdekaan, kerajaan berdepan cabaran untuk menyatupadukan rakyat yang mempunyai latar belakang berbeza. Sebab itu, kita perlu melihat model penyatupaduan yang sesuai dengan konteks sejarah dan masyarakat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Negara Bangsa dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bertajuk Integrasi Nasional: Merentas Perbezaan, Membentuk Identiti Bersama yang disiarkan di Astro AWANI, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau berkata integrasi nasional membolehkan setiap kaum mengekalkan identiti masing-masing, namun tetap berkongsi nilai dan prinsip asas sebagai rakyat Malaysia.
“Pada saya, integrasi nasional lebih sesuai dijadikan kerangka untuk Malaysia kerana kita masih boleh memegang identiti sendiri, tetapi pada masa sama kebersamaan itu penting.
“Kebersamaan ini bermaksud kita setia kepada Raja dan Negara, menerima Islam sebagai agama Persekutuan, menggunakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan menghormati Rukun Negara. Inilah asas yang perlu terus menjadi penghubung untuk menyatupadukan masyarakat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berpandangan institusi pendidikan, khususnya sekolah, perlu memainkan peranan lebih besar sebagai ruang interaksi dan pembentukan integrasi nasional dalam kalangan generasi muda.
Menurutnya, kepelbagaian sistem pendidikan dan bahasa tidak seharusnya dilihat sebagai penghalang kepada perpaduan, sebaliknya boleh dimanfaatkan untuk membina kefahaman serta penerimaan antara kaum.
“Pada saya, tidak ada ruginya kalau anak Melayu (berkemampuan untuk) bercakap (dalam) bahasa Tamil dan anak India bercakap bahasa Cina. Kita perlu meraikan kepelbagaian bahasa ini.
“Institusi pendidikan bukan sekadar ruang untuk mempelajari bahasa yang berbeza, tetapi perlu menjadi platform untuk menjalankan aktiviti yang membolehkan anak-anak daripada pelbagai kaum, termasuk dari Sabah dan Sarawak, berinteraksi dan membina integrasi nasional,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan penerapan nilai perpaduan di sekolah tidak seharusnya terhad kepada pengajaran Rukun Negara atau penawaran kelas bahasa tambahan semata-mata.
Sebaliknya, pelaksanaan aktiviti bersama yang melibatkan murid daripada pelbagai latar belakang perlu diperkukuh bagi memastikan integrasi nasional dapat diterjemahkan melalui pengalaman dan interaksi sebenar.
Katanya, usaha itu penting bagi membentuk generasi akan datang yang bukan sahaja memahami kepelbagaian masyarakat Malaysia, malah mampu menerima perbezaan sebagai asas kepada identiti bersama.