KUALA LUMPUR: Segala yang ada di dalam rumah setingkat itu bersalut lumpur - peralatan elektrik dan elektronik, perkakas rumah dan perabot, malah pakaian juga bergumpal selut.
TV skrin rata 42 inci yang sebelum ini menjadi sumber maklumat dan hiburan Derismawa Arisno dan dua teman serumah, dijadikan alas duduk wanita itu yang berehat sekejap bagi menghilangkan lelah membersihkan rumah sewanya yang ditenggelami air selama seminggu bermula 18 Dis lalu.
"Bila balik (dari kerja), air dah sampai paras betis. Cuma dapat selamatkan baju, yang lain semua ditinggalkan. Memang panik sangat," katanya membuka cerita kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengah, Banting, Selangor.
Kampung itu yang didiami oleh golongan berpendapatan sederhana, kebanyakannya bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa KL, antara kawasan yang paling teruk terjejas banjir 18 Dis tersebut.
Menurut penduduk yang ditemui Bernama, petempatan yang dikelilingi ladang kelapa sawit tersebut amat jarang dilanda banjir, justeru mereka tertanya-tanya bagaimana bencana seburuk itu boleh berlaku dan mengapa tiada amaran dikeluarkan.
Pertanyaan serupa turut bermain di fikiran Raynugadewi Subramanian atau Raynu yang menetap di Taman Sri Muda, Shah Alam - 44 kilometer di utara Kampung Tengah.
Tidak seperti Kampung Tengah, Taman Sri Muda mudah dilanda banjir apabila hujan lebat, namun kata Raynu bah besar pada hari berkenaan membuatkan dia benar-benar tergamam kerana selama ini banjir kilat yang berlaku tidak seteruk itu.
Cerita wanita itu, pada pagi 18 Dis tersebut, dia perasan air naik agak pantas berbanding kebiasaan, menyebabkan dia dan ibunya keluar rumah bagi mengalihkan kereta untuk diletakkan di kawasan lebih tinggi.
"Agak sukar untuk memandu dalam keadaan itu, namun syukurlah kami selamat sampai di kawasan tinggi," katanya menerusi WhatsApp kepada Bernama.
"Kami kemudian tunggu air surut dengan harapan dapat berjalan kaki untuk balik ke rumah, namun kami dapati paras air semakin tinggi."
Melihat rumah mereka semakin ditenggelami air, Raynu dan ibunya tidak ada pilihan melainkan menuju ke tempat selamat, meninggalkan segala milik mereka termasuk kucing peliharaan di rumah. (Kucing mereka selamat, ditemukan tiga hari kemudian).
Menurutnya, apabila kembali ke rumah pada 23 Dis, semua barangan di tingkat bawah musnah, manakala kawasan kejiranannya pula ibarat "medan perang". Setakat 27 Dis lepas, pihak berkuasa mengesahkan 25 orang termasuk dua sukarelawan terkorban dalam bencana itu di Selangor, manakala puluhan ribu lagi terpaksa dipindahkan. Ratusan penduduk dilaporkan terperangkap di atas bumbung atau di tingkat atas kediaman mereka tanpa makanan dan elektrik selama lebih sehari.
KAPASITI BERLEBIHAN
Ironinya, Selangor dianggap oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai negeri yang paling bersedia untuk menghadapi bencana di Malaysia, kata pakar kesiapsiagaan Dr Khamarrul Azahari Razak.
Justeru, apakah yang sebenarnya berlaku?
"Apa yang berlaku (pada 18 Dis) adalah impak perubahan iklim dan akibat cuaca ekstrem pada hari berkenaan. Perlu diingat, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran, dan... (perubahan cuaca) berlaku sekelip mata," katanya.
Menurutnya, pakar termasuk beliau, menumpukan perhatian pada negeri-negeri di timur laut, menjangkakan hujan turun di sana seperti kebiasaan, namun yang berlaku ialah sistem cuaca bergerak ke barat daya, iaitu Lembah Klang.
Pihak berkuasa menuding jari pada jumlah taburan hujan - lebih 300 mm dalam sehari iaitu jumlah purata sebulan - yang diburukkan lagi dengan air pasang besar, kawasan rendah, air sungai penuh dan daratan terlebih tepu. Gabungan faktor itu tidak mampu ditampung oleh langkah-langkah tebatan banjir yang dilaksanakan.
Sekalipun saintis iklim dan pakar tempatan telah menjangkakan lebih banyak hujan dan kejadian banjir di rantau ini pada masa depan, termasuk di kawasan yang lazimnya tidak banjir, bencana 18 Dis itu memeranjatkan ramai pakar.
"Jujur saya katakan, selama lebih 30 tahun saya berkhidmat, saya tidak pernah melihat banjir seteruk itu di Kuala Langat mahupun Shah Alam," kata Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) melalui WhatsApp kepada Bernama.
Walaupun penduduk sudah terbiasa dengan kejadian banjir di kawasan rendah di Lembah Klang, khususnya di kawasan berdekatan sungai, tidak ramai yang menyangka kawasan terbabit masih ditenggelami air selepas berhari-hari hujan berhenti.
Di Kampung Tengah, air hanya surut selepas seminggu, manakala di Taman Sri Muda, pihak berkuasa terpaksa menggunakan pam untuk menyedut keluar air, membolehkan penduduk kembali ke rumah mereka lima hari kemudian.
Pakar sungai dan saliran Dr Kalithasan Kailasam daripada Global Environment Centre (GEC) pula berkata ketika monsun bermakna sungai dan empangan dipenuhi air, menyukarkan lagi banjir untuk surut, malah mungkin kembali memasuki rumah.
"Keadaan itu disebabkan aliran balik," jelasnya.
Sementara itu, pada 27 Dis lalu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata berdasarkan jumlah hujan yang turun pada 18 dan 19 Dis yang dua kali ganda jumlah taburan hujan purata bagi Disember, sebarang projek tadahan air pada masa akan datang perlu berkemampuan menampung 300 hingga 400 mm air pada bila-bila masa.
Susulan bencana itu, masyarakat kini ingin tahu langkah-langkah yang diambil bagi memastikan bah besar di Lembah Klang tersebut tidak berulang.
PERSEDIAAN UNTUK MASA DEPAN
Mitigasi banjir mempunyai dua bahagian, iaitu struktur dan bukan struktur. Pakar berkata dengan menambah baik langkah tebatan banjir struktur seperti meningkatkan jumlah dan kapasiti kolam tadahan, empangan, tetambak dan lencongan akan membantu Lembah Klang dan Malaysia amnya mendepani ancaman perubahan iklim.
Untuk penyelesaian bukan struktur pula, pakar dan masyarakat berkata kerajaan negeri dan persekutuan harus menambah baik tindak balas dan pengurusan bencana masing-masing.
Raynu berkata setahunya, jiran serta rakannya yang terperangkap dalam banjir di Taman Sri Muda diselamatkan oleh sukarelawan, bukan pihak berkuasa.
"Perkara ini tidak seharusnya berlaku atau setidak-tidaknya diuruskan dengan lebih baik oleh pihak berkuasa. Bagi saya perkara ini merupakan satu kegagalan yang besar pihak berkuasa," tambah wanita itu.
Laporan yang dikeluarkan oleh Pejabat PBB bagi Pengurangan Risiko Bencana dan Pusat Kesiapsiagaan Bencana Asia pada 2020 mengenai Pengurangan Risiko Bencana di Malaysia, menyifatkan sistem pengurusan bencana negara yang secara berpusat atau dari atas ke bawah itu sebagai tidak cekap dan ketinggalan zaman.
"Tidak dapat dielakkan ketiadaan fleksibiliti (dalam sistem pengurusan bencana dari atas ke bawah) menjadikan sistem itu tidak berguna apabila berdepan cabaran abad ke-21, di mana maklumat dari bawah ke atas memainkan peranan penting dengan revolusi media sosial dan kesedaran dalam kalangan orang awam akan memberi impak terhadap reputasi dan nama baik kerajaan," menurut laporan itu.
Dr Khamarrul yang juga Exco MERCY Malaysia, mengesyorkan pelaksanaan sistem terpencar dan menambah, sistem pengurusan bencana yang berkesan bermakna melibatkan kesemua pihak berkuasa tempatan dan negeri.
"Jika anda memperkukuh kerajaan tempatan - kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan - anda sebenarnya menambah baik keseluruhan jentera dalam pengurusan bencana, berbanding dengan hanya bergantung pada Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara)," katanya.
Nadma ditubuhkan pada 2015. Pada 5 Okt tahun ini, Ketua Pengarahnya Datuk Dr Aminuddin Hassim dilaporkan berkata agensi itu sedang menggubal dasar pengurangan risiko. Beliau bagaimanapun tidak memberi maklum balas apabila ditanya berkenaan perkembangan dasar itu.
Pendekatan dari bawah ke atas juga harus melibatkan orang awam.
Dr Kalithasan yang juga Pengurus Penjagaan Sungai bagi GEC, berharap kejadian banjir itu akan menyedarkan orang ramai, kerana katanya mereka mempunyai peranan yang penting dalam mengurus dan mempersiap persediaan menghadapi bencana.
"Kita harus berpandukan pada model perubahan iklim 2021 yang tidak boleh diduga. Kita berdepan kemungkinan banjir boleh berlaku di mana sahaja dan pada bila-bila masa, tidak seperti musim monsun sebelum ini, iaitu bah pada Disember hanya berlaku di Kelantan dan Terengganu," katanya.
BERSATU
Pakar berkata perubahan bukan struktur lain yang boleh diambil ialah melarang pembangunan di kawasan dataran banjir, memastikan pembangunan lestari dan memperkukuh perundangan serta memperketat syarat pembangunan.
Nor Hisham yang juga bekas Ketua Pengarah Pengairan dan Saliran, berkata dataran banjir tidak harus dibangunkan.
"Di sesetengah kawasan, dulu kenapa buat ?" soal beliau.
Namun jika ada keperluan untuk dibangunkan, pakar berkata syarat yang ditetapkan harus mengambil kira kesan perubahan iklim seperti jumlah taburan hujan yang lebih tinggi dan kejadian cuaca melampau.
Aktiviti penebangan hutan juga perlu dikenakan sekatan yang lebih ketat, dan pihak berkuasa tidak boleh berkompromi dalam soal peraturan serta tidak meluluskan sebarang pembangunan yang gagal memenuhi syarat.
Pakar pengurusan alam sekitar Prof Madya Dr Mohd Khairul Amri Kamaruddin daripada Universiti Sultan Zainal Abidin bagaimanapun berkata tidak perlu dihentikan terus pembangunan, sebaliknya pastikan aktiviti itu dijalankan secara bersama dengan usaha pemuliharaan.
"Kita jaga. Kita buat sebagai ekopelancongan yang mana kita boleh bangunkan balik (hutan), boleh kembalikan duit ekopelancongan itu tadi kepada ekonomi masyarakat setempat dan sebagainya," katanya.
Nor Hisham yang bersetuju dengan saranan itu berkata apa juga pembangunan yang dilakukan, pastikan projek tidak mengganggu proses kitaran hidrologi atau proses semula jadi sungai.
"Usaha menggemblengkan pembangunan dan alam semula jadi, di mana sistem semula jadi tidak diganggu dan pada masa sama komuniti manusia juga boleh berkembang, mesti dilaksanakan. Kaedah ini amat penting bagi masa depan sesebuah negara yang menerima banyak hujan seperti negara kita ini," tegasnya.
-- BERNAMA
Bernama
Thu Dec 30 2021
Tidak ramai yang menyangka kawasan terbabit masih ditenggelami air selepas berhari-hari hujan berhenti. - Foto fail/Astro AWANI
Apple Intelligence diaktifkan ke beberapa lagi negara tetapi tidak di Malaysia
Apple Intelligence boleh digunakan pada peranti tertentu seperti iPhone 15 Pro, iPhone 15 Pro Max, siri iPhone 16, Mac dengan cip Apple M, iPad dengan cip Apple M, dan iPad Mini dengan cip A17 Pro.
RUU Ombudsman Malaysia jangka dibentang tahun depan
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kula Segaran berkata pada masa ini, beberapa sesi bengkel cadangan dasar penubuhan Ombudsman telah diadakan dengan pihak-pihak berkepentingan, agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan.
Kertas siasatan SD sokong Muhyiddin jadi PM dirujuk AGC
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan bertulis di Parlimen berkata, AGC kemudiannya telah menyerahkannya kembali kepada pihak polis bagi siasatan lanjut.
KWSP lancar Panduan Belanjawanku 2024/2025 dan rangka kerja RIA
Panduan dan rangka kerja ini bertujuan menyediakan panduan komprehensif untuk perbelanjaan bulanan serta mengemaskini tahap simpanan.
AWANI Ringkas: Peguan Negara tarik semula rayuan terhadap pembebasan Zahid Hamidi
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
4.1 juta pencarum miliki amaun permulaan, RM14.6 bilion dipindah kepada Akaun Fleksibel KWSP - Amir Hamzah
Sejumlah RM6.6 bilion simpanan pula telah dipindahkan ke Akaun Persaraan.
Usaha kerajaan dalam mempertingkatkan lagi EIA untuk lebih berkesan
Menurut Menteri NRES, Nik Nazmi, antara penambahbaikan kerajaan untuk penilaian kesan kepada alam sekeliling (EIA) untuk lebih efektif, memperkukuh keperluan perundangan berkaitan EIA dan tadbir urus dalam penilaian laporan EIA, memperkasa prosedur penilaian EIA, pendigitalan EIA, pengukuhan libat urus awam dan pemantapan penguatkuasaan EIA.
Ikuti berita terkini di https://grid.astroawani.com/
#AWANInews #SisiTvParlimen #DewanRakyat
Ikuti berita terkini di https://grid.astroawani.com/
#AWANInews #SisiTvParlimen #DewanRakyat
Perancis umum pengunduran tenteranya dari Chad
Perancis memulakan pengunduran tenteranya dari Chad dengan perlepasan dua pesawat perang yang berpangkalan di ibu negaranya N'Djamena.
Menurut tentera Perancis, tindakan itu dilakukan dua minggu selepas Chad menamatkan pakatan kerjasama pertahanannya dengan Paris.
Menurut tentera Perancis, tindakan itu dilakukan dua minggu selepas Chad menamatkan pakatan kerjasama pertahanannya dengan Paris.
Perhimpunan Agung PBB tuntut gencatan senjata segera dan tanpa syarat di Gaza
Resolusi yang turut menekankan keperluan akses kemanusiaan segera, diluluskan dengan sokongan 158 undi, sembilan undi menentang dan 13 berkecuali.
Banjir: Kos keseluruhan baiki jalan rosak dianggarkan RM312.1 juta setakat semalam - Nanta
Ia merangkumi RM247 juta bagi menyelenggara jalan Persekutuan, RM40.3 juta untuk pembaikan cerun jalan Persekutuan, manakala jalan negeri melibatkan kos RM24.8 juta.
Banjir: Kos keseluruhan baiki jalan rosak dianggarkan RM312.1 juta setakat semalam - Nanta
Ia merangkumi RM247 juta bagi menyelenggara jalan Persekutuan, RM40.3 juta untuk pembaikan cerun jalan Persekutuan, manakala jalan negeri melibatkan kos RM24.8 juta.
Thailand ambil langkah komprehensif tangani cuaca buruk, dijangka melanda minggu ini
Jabatan Pengairan Diraja juga telah diarahkan membersihkan saluran air daripada rumpai dan halangan untuk mengelakkan banjir.
Banjir di Kelantan pulih, PPS terakhir ditutup petang ini
PPS Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi 1 yang menempatkan 41 orang ditutup sekitar 5 petang tadi.
Kebersihan Bandaraya Diraja Klang: Selangor terima teguran Sultan Sharafuddin
Kerajaan Selangor menerima dengan hati terbuka teguran Sultan Sharafuddin yang menzahirkan keprihatinan berhubung tahap kebersihan di Bandaraya Diraja Klang.
Mangsa banjir di Pantai Timur meningkat, Perak, Johor kekal
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan berterusan di beberapa negeri sehingga esok, termasuk Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, dan Terengganu.
Semakin ramai mangsa banjir di Pantai Timur, Johor ditempatkan di PPS
Situasi banjir di Pantai Timur dan Johor bertambah buruk malam ini apabila semakin ramai mangsa ditempatkan di PPS.
Cadangan bina PPK langkah proaktif hadapi bencana - Timbalan Premier
Pembinaan pusat pemindahan kekal (PPK) terutamanya di kawasan berisiko banjir merupakan langkah proaktif kerajaan dalam menghadapi bencana.
PDRM siap sedia hadapi gelombang banjir seterusnya - Ayob Khan
PDRM bersiap siaga bagi menghadapi gelombang banjir seterusnya, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Amaran hujan lebat tahap buruk, waspada di enam negeri
Hujan berterusan tahap waspada sehingga Khamis ini dijangka berlaku di seluruh Perlis dan beberapa kawasan di Kedah.
Keterlibatan sukarelawan wanita penting dalam misi bantuan bencana
Nilai empati dan sifat prihatin wanita yang lebih dominan membantu dari segi bantuan psikosial kepada mangsa banjir.