KUALA LUMPUR: Tidak sepatutnya timbul isu pembelian barangan sumbangan di Mesir ketika misi kemanusiaan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew ke Gaza baru-baru ini.

Ebit memaklumkan, beliau membeli barang-barang keperluan terutama barangan dan kelengkapan perubatan di Mesir kerana ia lebih mudah didapati.

"Saya jumpa pesakit kanser yang beritahu, ubat yang dia ambil hanya ada di Mesir. Begitu juga seorang pesakit jantung yang memerlukan pembedahan, doktor tak boleh jalankan pembedahan kerana kelengkapan yang diperlukan tiada di Gaza.

"Jadi tak ada isu pun kenapa saya beli barang di Mesir dan bukan di Gaza," katanya dalam sesi soal jawab secara maya, hari ini.

BACA: Saya cuba sebar kasih sayang, kenapa masih ada prasangka buruk? - Ebit Lew

Menjawab isu beliau didakwa 'berseronok' semasa di Mesir, kata Ebit, ia adalah tentatif daripada pihak agensi pelancongan di sana dan beliau tidak mempunyai pilihan lain.

"Saya ke sana dengan tiga niat utama. Saya mahu serahkan barangan perubatan dan kemudian balik. Tetapi kalau ada rezeki, saya mahu sampai ke Rafah, pintu masuk ke Gaza dan kalau diizinkan, saya mahu masuk ke Gaza.

"Saya tahu agak mustahil kerana ketika saya sampai, perang belum reda. Tetapi saya tawakal dan berdoa sahaja.

"Di Mesir, kami sudah serahkan nama sebab di sana bukan boleh main-main. Mereka mahu tahu kenapa kita berada di sana dan kenapa nak ke Gaza. Nama pun kawasan perang, tentu banyak prosedur yang perlu diambil kira, tidak semudah itu sahaja.

"Kami berada di Mesir dengan sebuah agensi pelancongan, jadi kami kena ikut jadual yang disediakan mereka sementara nak tunggu kelulusan untuk masuk ke Gaza," katanya sambil memaklumkan beliau menggunakan duit sendiri ketika di Mesir.

BACA: Teguran 'kasih sayang' Nadir Al-Nuri buat Ebit Lew, Caprice jelaskan isu malam ini

BACA: 'Saya telah difitnah' - Ebit Lew

Dalam pada itu, kata Ebit, tindakannya membina rumah anak yatim di Gaza adalah cara yang dipilihnya untuk memberi bantuan.

"Setiap orang ada cara masing-masing untuk membantu. Saya hormat cara orang lain beri bantuan.

"Saya pilih untuk bina rumah anak yatim dan saya harap orang tidak persoalkan kenapa," ujarnya.

BACA: Memang ajaib, Allah bantu kami masuk ke Gaza dengan mudah dan betul - Ebit Lew