KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilantik sebagai Menteri Kewangan II susulan rombakan Kabinet pada Selasa.

Pelantikan itu diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pejabat Perdana Menteri pada 11 pagi.

Terdahulu, Amir Hamzah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Parlimen.

Kini, beliau merupakan teknokrat kedua di Kementerian Kewangan yang mempunyai latar belakang korporat selepas bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang pernah berkhidmat sebagai CEO Kumpulan dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd dari 27 Feb, 2015 hingga 9 Mac, 2020.

Amir Hamzah menyertai KWSP -- dana pencen terbesar negara dari segi pengurusan aset -- sebagai CEO pada Mac 2021.

Sebelum bersama KWSP, beliau ialah Presiden dan CEO Tenaga Nasional Bhd (TNB) dari April, 2019 hingga Februari, 2021.

[TERKINI] Sidang media rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan

Kerjaya Amir Hamzah bermula dengan Shell Group of Companies selama 10 tahun dengan pelbagai kapasiti di Malaysia, Singapura dan United Kingdom.

Beliau menyertai MISC Bhd pada 2000, dan memegang beberapa portfolio pengurusan kanan sebelum dilantik sebagai Presiden dan CEO pada Januari 2009.

Pada Jun 2010, beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan dan CEO Petronas Dagangan Bhd.

Pada Ogos 2012, Amir Hamzah menyertai Petronas Lubricants International sebagai Pengarah Urusan dan CEO Kumpulan, serta pada masa sama berkhidmat sebagai Naib Presiden (VP) bagi Pemasaran Hiliran, dan seterusnya sebagai Naib Presiden Minyak Pelincir bagi Petronas Group.

Pada Mac 2016, beliau menyertai Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) untuk mengemudi syarikat penerima pelaburan, Icon Offshore Bhd sebagai Pengarah Urusan dan CEO.

Amir Hamzah kemudian dilantik sebagai CEO Themed Attractions Resorts and Hotel Sdn Bhd, anak syarikat Khazanah Nasional Bhd, sebelum menyertai TNB pada April 2019.

Kini, beliau juga Pengerusi Bukan Eksekutif Malaysian Resources Corporation Bhd, dan juga menganggotai lembaga pengarah Sime Darby Plantation Bhd dan Sime Darby Oils International Ltd.

Amir Hamzah memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pengurusan (pengkhususan dalam Kewangan dan Ekonomi) dari Syracuse University, New York, Amerika Syarikat.

Beliau juga telah menyertai Program Eksekutif Stanford di Stanford University dan Program Kelas Malam Kewangan Korporat di London Business School.

-- BERNAMA