KUALA LUMPUR: Diplomasi budaya memainkan peranan penting dalam memperkukuh persahabatan antara negara dengan mewujudkan hubungan bermakna antara rakyat menerusi kreativiti, kerjasama dan saling menghormati, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man.
Beliau berkata pertukaran budaya menunjukkan diplomasi bukan sahaja berlaku di meja persidangan atau menerusi perjanjian rasmi tetapi juga melalui melodi, tarian, karya seni dan pengalaman budaya yang dikongsi bersama.
“Detik-detik ini mampu membuka hati, memperdalam pemahaman dan mewujudkan ikatan persahabatan yang berkekalan,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada konsert Harmony Beyond Borders - A Celebration of Cultural Friendship di Taman Tasik Titiwangsa di sini malam tadi.
Konsert yang diadakan bersempena Festival Budaya Malaysia (FBM) 2026 itu menghimpunkan penggiat seni dan pemuzik dari China, India dan Uzbekistan bersama penggiat seni Malaysia, sekali gus mencerminkan kepelbagaian tradisi budaya negara masing-masing.
Antara penggiat seni antarabangsa yang membuat persembahan ialah pemuzik pipa dari China Chuang Tzuhui dan pemain erhu Shen Tong, pemuzik pakhawaj dari India Dr Ankit Parikh dan pemain sarangi Anish Mishra serta pemain doira dari Uzbekistan Bekmurodov Dilmurodbek Shuxratovich dan pemain seruling Ergashev Azamat Akmalovich.
Konsert yang diselaraskan oleh Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) itu adalah inisiatif utama di bawah Program Diplomasi Budaya Malaysia, yang bertujuan mengetengahkan kuasa seni dalam merentasi sempadan geografi dan budaya, selain memupuk persefahaman serta memperkukuh hubungan antara negara.
Chiew berkata seni berfungsi sebagai bahasa sejagat yang menghubungkan rakyat merentasi sempadan, manakala muzik, tarian, warisan, kraf dan ekspresi kreatif membolehkan masyarakat berkongsi kisah, identiti dan nilai mereka.
“Dalam melakukannya, kita belajar menghargai perbezaan sambil menemukan nilai bersama yang menyatukan kita sebagai sebuah masyarakat global,” katanya.
Beliau berkata semangat pertukaran budaya amat bermakna ketika Malaysia mengalu-alukan kunjungan dunia menerusi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026-2027, dengan pelawat antarabangsa dijemput untuk menikmati bukan sahaja destinasi di negara ini, malah turut mengenali rakyat, tradisi, warisan dan kepelbagaian budayanya.
Pada masa yang sama, beliau berkata Malaysia kekal terbuka untuk mempelajari dan meraikan budaya sahabat antarabangsanya, mencerminkan semangat “Keharmonian Merentas Sempadan” dalam menggunakan diplomasi budaya untuk membina jambatan serta kreativiti bagi memperkukuh persahabatan.
Program itu turut menyumbang kepada objektif budaya, ekonomi dan diplomatik Malaysia yang lebih luas di bawah kempen TMM 2026 dengan mempromosikan pelancongan budaya, mewujudkan peluang kepada penggiat seni dan pengamal kreatif Malaysia, serta memperkukuh kerjasama budaya antarabangsa.
Beliau turut berharap persembahan berkenaan dapat menyemarakkan lagi persefahaman, memperkukuh kerjasama dan mengeratkan persahabatan yang berkekalan antara rakyat, selain membuktikan bahawa kepelbagaian bukanlah penghalang, sebaliknya sumber keindahan dan kekuatan.
-- BERNAMA