Disangka nasi lemak, rupanya dadah.

Itu taktik licik sindiket pengedaran dadah membungkusnya seperti nasi lemak bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Namun taktik itu tidak bertahan lama selepas tujuh anggota sindiket termasuk seorang yang dipercayai tokan ditahan polis dalam beberapa serbuan di sekitar Perlis sejak dua hari lalu.

Menurut Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad, operasi menggempur beberapa lokasi panas dipercayai menjadi 'port' pengedaran dadah di sektiar Kuala Perlis, Simpang Empat dan Arau.

Kesemua suspek yang ditahan berusia di antara 22 hingga 52 tahun, bekerja sebagai buruh dan mekanik termasuk seorang pengusaha parkir di kawasan itu.

Polis percaya, suspek bergerak sendirian bagi mengelak aktiviti mereka dihidu pihak berkuasa.

“Rampasan meibatkan 1184.81 gram dadah jenis syabu dan 23.68 gram dadah jenis heroin yang dipercayai untuk pengedaran di negeri Perlis.

"Lokasi kawasan adalah di Kuala Perlis, Simpang Empat dan Arau,” katanya ketika ditemui media di sini pada Rabu.

Selain itu, polis turut merampas dadah dianggarkan bernilai RM121,684.

Turut disita dua kenderaan mewah selain sebuah Proton Wira dan motosikal jenis Yamaha L-C dipercayai milik suspek.

Siasatan awal mendapati, kesemua suspek memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan saringan air kencing juga adalah positif.

Menurut Surina, kesemua suspek yang ditahan, direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan untuk disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.