Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan diskaun 50 peratus bagi tambang perjalanan KTM Komuter dari Stesen Padang Besar dan Gemas mulai Isnin ini hingga 29 Februari.

"Promosi diskaun 50 peratus itu adalah bagi perjalanan tren pertama dari stesen Padang Besar ke Stesen Butterworth pada pukul 5.45 pagi.

"Tren pertama dari Stesen Gemas ke Stesen Seremban/KL Sentral pula pada jam 5.05 pagi," menurut kenyataan KTMB hari ini.

Menurut KTMB, promosi itu adalah untuk perjalanan sehala dan dua hala dari dua stesen berkenaan.

Katanya, perkhidmatan tren ulang alik di sektor utara itu mula beroperasi pada 11 September tahun lalu menghubungkan 18 buah stesen bermula dari Stesen Kamunting - Butterworth - Padang Besar.

Sementara itu, di sektor selatan pula, perkhidmatan tren ulang alik beroperasi 10 Okt menghubungkan laluan di Stesen Gemas - Seremban - KL Sentral.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di talian 03-2267 1200 atau melayari laman sesawang di www.ktmb.com.my.