MALAYSIA
Diskaun kepada India Muslim tidak libat kuota bumiputera atau jejas hak kaum lain - Exco

S.Sundarajoo berkata langkah itu, merupakan sebahagian daripada usaha memperluas peluang pemilikan rumah dalam pasaran terbuka khususnya bagi kumpulan yang masih rendah kadar penyertaannya, tanpa menjejaskan hak kaum lain.
GEORGE TOWN: Penawaran diskaun lima peratus kepada pembeli rumah pertama dalam kalangan komuniti India Muslim di Pulau Pinang, tidak melibatkan unit kuota bumiputera dan tidak menjejaskan dasar sedia ada berkaitan pemilikan rumah.
Ringkasan AI
- Kerajaan Pulau Pinang memperkenalkan diskaun lima peratus kepada pembeli rumah pertama dalam kalangan komuniti India Muslim sebagai usaha memperluas pemilikan rumah tanpa menjejaskan kuota Bumiputera atau dasar sedia ada.
- Diskaun ini adalah inisiatif tanggungjawab sosial oleh pemaju, bukan subsidi kerajaan, dan bertujuan merangsang sektor hartanah yang terkesan akibat lambakan unit tidak terjual serta peningkatan kos pembinaan.
- Langkah ini sebahagian daripada Dasar Pemangkin MOC yang turut memperkenalkan kategori baharu Rumah MutiaraKu Jenis D dan pelbagai insentif lain, berkuat kuasa dari 1 Jun 2025 hingga 31 Mei 2026.
"Kerajaan negeri menegaskan bahawa semua dasar perumahan sedia ada, termasuk kuota bumiputera serta pelbagai insentif lain bagi pembeli rumah pertama kekal utuh dan akan terus dilaksanakan," katanya dalam kenyataan hari ini, bagi mengulas tindakan beberapa pihak yang mengkritik diskaun itu.
Pada Khamis lepas, Sundarajoo mengumumkan diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim bagi pembelian unit kediaman dan komersial, menerusi Dasar Pemangkin Momentum Sektor Hartanah dan Pemilikan Rumah Inklusif MADANI (MOC).
Perkara itu merupakan antara beberapa insentif dalam dasar berkenaan yang berkuat kuasa dari 1 Jun 2025 hingga 31 Mei 2026, selain memperkenalkan kategori khas Rumah MutiaraKu (RMKu) Jenis D dengan harga siling maksimum RM400,000 dan pengurangan kadar sumbangan bagi pemaju yang tidak menyediakan unit RMKu Jenis A atau B secara fizikal.
Sundarajoo berkata inisiatif diskaun lima peratus tersebut hanya tambahan kepada pelbagai program sedia ada yang telah dirangka untuk memenuhi keperluan perumahan rakyat negeri itu.
Beliau juga menjelaskan tindakan itu sebagai langkah intervensi untuk merangsang semula sektor hartanah, selepas perbincangan dan persetujuan bersama pihak berkepentingan industri perumahan, mengambil kira lambakan unit bukan mampu milik yang semakin membimbangkan di Pulau Pinang.
"Berdasarkan Laporan Pasaran Hartanah Negeri Pulau Pinang bagi Suku Keempat Tahun 2024 dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), sebanyak 2,796 unit kediaman telah dikenal pasti sebagai tidak terjual, melibatkan pelbagai jenis hartanah kediaman di seluruh negeri," katanya.
Sundarajoo berkata pelaksanaan langkah itu juga bertujuan merancakkan semula sektor hartanah yang terkesan akibat peningkatan kos bahan binaan dan tenaga kerja, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk mencapai pembangunan lebih seimbang, mampan dan inklusif di Pulau Pinang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami