KUALA LUMPUR: Keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC untuk terus kekal bersama Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai satu manifestasi kesetiaan dan kematangan politik yang berpandangan jauh.
Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata keputusan yang dicapai dalam mesyuarat CWC semalam itu bukan sekadar pendirian politik semasa, tetapi merupakan cerminan kepada akar sejarah perjuangan yang telah lama terbina sejak era Perikatan (1955-1973) dan kemudiannya diperkukuh melalui BN (1974 hingga kini).
Advertisement
“Dalam tempoh panjang ini, gabungan ini telah melalui pelbagai ujian, daripada cabaran perkauman, tekanan politik, hinggalah kepada perubahan landskap nasional, namun BN masih kekal bertahan kerana asasnya adalah kepercayaan, kesetiaan dan tanggungjawab bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata keputusan MIC untuk kekal bersama BN juga mempunyai justifikasi yang kukuh dan rasional iaitu atas faktor kestabilan dan kesinambungan, kekuatan muafakat pelbagai kaum, keupayaan untuk memperbaharu diri serta menolak politik perpecahan.
Zambry berkata dalam keadaan politik yang semakin berpecah dan tidak menentu, rakyat memerlukan satu platform yang stabil serta berpengalaman dan BN telah membuktikan kemampuannya mentadbir negara secara inklusif dan pragmatik, menjadikan satu wadah masih relevan.
Beliau berkata dalam konteks Malaysia yang majmuk, BN bukan sekadar gabungan parti tetapi satu model kerjasama antara kaum yang telah diuji oleh masa dan kekuatan itu amat penting untuk memastikan keharmonian sosial terus terpelihara.
“Walaupun diuji dengan pelbagai cabaran, BN tidak statik. Ia sedang melalui proses penstrukturan semula, memperkukuh organisasi dan memperbaharu pendekatan agar lebih responsif kepada kehendak rakyat masa kini.
“Dalam suasana di mana terdapat usaha untuk memecahbelahkan kesatuan sedia ada, keputusan ini menghantar isyarat jelas bahawa prinsip kebersamaan dan solidariti tidak boleh digadai demi kepentingan jangka pendek,” katanya.
Justeru, Zambry berkata usaha memperkemas BN akan terus dipergiat, selagi semangat kesatuan itu dipertahankan dengan jujur dan ikhlas, sebarang cubaan untuk melemahkan atau memecahbelahkan gabungan itu akan dapat ditangani dengan penuh kebijaksanaan dan kekuatan dalaman.
“Akhirnya, keputusan ini bukan hanya tentang hari ini, tetapi tentang masa depan bahawa politik berteraskan kesatuan, kesederhanaan dan tanggungjawab masih mempunyai tempat penting dalam membina Malaysia yang lebih stabil dan sejahtera,” katanya.
-- BERNAMA