DALAM siri CSI, kita diperlihatkan dengan teknik forensik moden yang digunakan untuk menyelesaikan kes jenayah.

Ia bertanggungjawab membuatkan orang ramai lebih memahami mengenai bukti DNA dan memerlukan pendakwaraya memperlihatkan bukti lebih kukuh di mahkamah.

Penyelidik dari Flinders University di Australia kini mengatakan mereka boleh mengekstrak DNA daripada pendingin hawa untuk membuktikan seseorang itu berada di dalam bilik.

Setiap benda hidup menghembuskan DNA dalam bentuk air liur atau wap yang dikeluarkan ketika bernafas.

Oleh sebab itu penyelidik mendapati DNA persekitaran (eDNA) yang dilepaskan ini boleh dikutip oleh pendingin hawa dan mesin penapis udara.

eDNA boleh dijadikan bukti seseorang suspek berada di lokasi kejadian walaupun selepas cap jari dan bukti DNA lain dibersihkan.

Teknik mengumpul eDNA ini telah lama digunakan oleh saintis untuk mengesan kewujudan spesis haiwan di dalam sungai.

Tahun lalu sampel air Loch Ness dikumpul untuk mencari bukti kewujudan spesis haiwan misteri yang didakwa naga purba.

eDNA Loch Ness tidak ditemukan oleh ahli sains tetapi kewujudan ikan, katak dan haiwan akuatik lain mampu dikesan dalam sampel yang diambil. -Amanz