MUAR: Kerajaan tidak sama sekali memiliki pengaruh atas keputusan mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada kesemua 47 pertuduhan yang dihadapinya.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ia sebaliknya merupakan kuasa penuh mahkamah untuk menentukan tindakan sewajarnya setelah representasi dikemukakan oleh pendakwaan yang mendorong kepada pelepasan Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO.

"Dalam kes Ahmad Zahid ini, rasa saya kerana ada representasi daripada peguam beliau kemuka bukti baharu yang boleh sebabkan ada keraguan kepada kes tersebut. Jadi, hakim akan jatuh hukum melampaui keraguan yang munasabah tanpa keraguan sikit pun.

"Kalau ada keraguan, saya rasa pejabat Peguam Negara akan merasa tak selesa dan dia tarik balik dan sebab itu, kes ini DNAA. Ketua Pesuruhjaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) Tan Sri Azam Baki pun telah nyatakan bahawa pegawai dia akan teruskan siasatan untuk tinjau sudut lain pula kerana kita tak boleh dakwa orang atas pertuduhan sama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada program ramah mesra bersama pengundi Simpang Jeram di Taman Seri Jeram di sini hari ini dengan calon Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram Nazri Abdul Rahman.

Isnin lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada semua pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk menghentikan prosiding kes berkenaan.

-- BERNAMA