KUALA LUMPUR: Digital Nasional Berhad (DNB) siap siaga untuk membawa rangkaian 5G ke negara ini pada 15 Disember ini dan meneruskan pengkomersialan 5G.

Ia akan dilancarkan lebih awal dari yang dijadualkan bermula dengan Putrajaya, Cyberjaya dan sebahagian Kuala Lumpur pada Disember 2021.

Dalam satu kenyataan, DNB memaklumkan, selepas kawasan di Lembah Kelang, liputan 5G ini akan dilanjutkan kepada 80 peratus daripada kawasan berpenduduk pada akhir 2024.

"Perkhidmatan 5G membuka inovasi baharu dan menarik, dengan penyambungan yang jauh lebih baik dan kelajuan yang mampu menyokong kes penggunaan sekitar penstriman dan muat turun kandungan video berkualiti 8K, permainan berasaskan awan, serta kandungan AR/VR," kata kenyataan tersebut.

DNB terlibat dalam perbincangan tetap dengan industri telekomunikasi domestik; dalam usaha untuk
memberikan pengalaman 5G kepada pengguna akhir.

"DNB akan menawarkan perkhidmatan borong 5G tanpa kos kepada semua MNO yang disepadukan ke dalam rangkaian DNB.

"Tawaran ini terpakai untuk semua tapak langsung 5G yang akan terdapat di seluruh Putrajaya, Cyberjaya dan sebahagian Kuala Lumpur selewat-lewatnya pada 31 Disember 2021. Tawaran berlangsung sehingga 31 Mac 2022," katanya lagi.

MNO dijangka akan menyediakan perkhidmatan 5G kepada semua pelanggan mereka dengan peranti yang serasi dalam kawasan liputan.

Sementara itu, Tawaran Akses Rujukan (RAO) – setelah mengambil kira maklum balas yang meluas daripada industri – dijangka diluluskan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam tempoh terdekat.