PADA usia 94 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad masih gigih bertungkus lumus untuk membina Malaysia Baharu.

Ia demi menjamin kesejahteraan masa depan keseluruhan rakyat di tanah air kita tanpa mengira bangsa atau agama.

Inilah prinsip dan jati diri mulia Dr Mahathir yang saya kenali.

Beliau hanya mahu menjadi ‘lilin yang membakar diri sendiri’ demi menerangi kehidupan keseluruhan rakyat di negara kita.

Jiwanya amat sebati dengan kepentingan bangsa serta negara. Kepentingan bangsa dan negara berada di atas segala-galanya tanpa mempunyai sebarang agenda kepentingan diri sendiri.

Masa untuk bersenang-lenang bersama keluarga dan memanjakan diri sendiri dikorbankan untuk perjuangan bagi menegakkan kebenaran serta membina semula Malaysia Baharu agar keseluruhan rakyat dapat hidup dalam keadaan aman makmur.

Rakyat jelata adalah seperti anak pinak malahan negara diibaratkan seperti rumah tangganya.

Bagaimana Dr Mahathir menjaga kepentingan rumah tangga serta anak pinaknya; maka begitu sifat mulia beliau untuk menjaga kepentingan keseluruhan bangsa dan negara kita.

Bukan mudah pada usia 94 tahun hendak memimpin negara. Semangat gigih Dr Mahathir di samping sokongan padu oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada suaminya telah menampakkan keberkatan daya usaha perdana menteri masa kini kita.

Kini, kepimpinan negara telah berjaya diletakkan pada asas yang sepatutnya.


Jadi bebas

Setahun lebih sikit menjadi Perdana Menteri, kini Dr Mahathir telah berjaya meletakkan institusi-institusi kerajaan berada di tempat yang sepatutnya.

Institusi-institusi kerajaan berfungsi secara bebas tanpa dibelenggu atau berada di bawah telunjuk eksekutif lagi.

Semuanya berfungsi secara bebas. Bidang kehakiman, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Peguam Negara, Bank Negara Malaysia (BNM) dan keseluruhan jabatan-jabatan kerajaan telah berfungsi secara ‘independent’.

Salah guna kuasa dan rasuah berskala besar tidak wujud lagi. Tidak ada lagi pemimpin-pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang merompak khazanah kerajaan serta duit rakyat seperti pemimpin-pemimpin mahupun kerajaan kleptokrasi lakukan pada suatu masa dahulu.


Para pelabur luar sudah mempunyai keyakinan dengan mutu kepimpinan negara masa kini. Pelaburan luar juga sudah dan sedang masuk secara memberangsangkan.

Agenda perancangan membangunkan ekonomi negara sedang disusun rapi oleh kerajaan PH yang dipimpin Dr Mahathir. Sinaran cahaya di hujung terowong semakin jelas kelihatan.

Permasalahan masa kini hanyalah harapan rakyat mahu melihat kerosakan negara selama hampir sembilan tahun yang dirosakkan secara berskala besar dipulihkan secara pantas.

Ini agak mustahil untuk dicapai. Kerajaan terdahulu merosakkan negara secara parah selama hampir sembilan tahun yang lepas dan kerajaan PH memegang tampuk kepimpinan negara baru setahun lebih sikit sahaja.

Namun, kita tidak boleh menyalahkan rakyat kerana sudah lama menderita di bawah kerajaan kleptokrasi dan mahu keluar dari kepompong kesusahan secara segera.


Bertindak pantas

Sebab itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail perlu bertindak pantas dan berkesan bagi mengurangkan kos harga makanan dan memastikannya dapat dikawal seterusnya diturunkan demi mengurangkan kos sara hidup harian rakyat.

Setakat ini, kementerian itu belum menampakkan hasil berkesan di dalam mencari formula efektif untuk mengurangkan harga barangan rakyat.

Sesungguhnya, kementerian itu mempunyai peranan yang amat penting. Jatuh bangun masa depan kerajaan PH bergantung kepada prestasi kementerian ini.

Masa depan kerajaan PH juga sikit sebanyak terletak kepada keberkesanan kementerian Saifuddin ini.

Rakyat mahukan kos sara hidup dikurangkan dan mahu melihat ‘makanan di atas meja’ tanpa sebarang faktor yang membebankan mereka.

Kerajaan kleptokrasi telah merosakkan rakyat dengan sogokan subsidi. Dasar kerajaan kleptokrasi dahulu menyogok rakyat secara kecil-kecilan dan menyamun duit rakyat dalam skala besar.

Strategi ini telah berjaya mengelabui mata rakyat pada hakikatnya.


Akhirnya, kita bersyukur kerana rakyat negara ini tidak bodoh. Kerajaan terdahulu cuba untuk terus memperbodohkan rakyat tetapi kematangan pemikiran rakyat yang dizalimi telah bangun menolak kerajaan kleptokrasi dan digantikan dengan kerajaan PH yang amat bertanggungjawab memelihara kesejahteraan keseluruhan bangsa.

Pada hari ini, Dr Mahathir terus berjuang secara gigih pada usia 94 tahun dan terbang ke seluruh pelusuk dunia untuk meyakini dunia luar semula agar pelaburan asing terus masuk secara berlipat ganda ke Malaysia.


Doa Untuk PM

Kita berdoa agar Dr Mahathir terus memimpin negara sekurang-kurangnya tiga tahun lagi bagi memberi platform persediaan untuk penggantinya mengambil-alih kepimpinan negara.

Tokoh-tokoh pemimpin muda yang dinamis seperti yMenteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan beberapa lagi tokoh-tokoh muda yang lain akan mempunyai masa bagi memperkemaskan mutu kepimpinan masing-masing untuk memikul tanggungjawab ambil-alih kepimpinan negara di masa tersebut.

Baru-baru ini, saya amat insaf dengan luahan hati Dr Siti Hasmah yang menyatakan ‘rakyat hanya melihat Perdana Menteri dalam keadaan berpakaian suit kemas ke pejabat tetapi kita tidak pernah melihat wajah sebenar Dr Mahathir ketika pulang ke rumah dari pejabat atau semasa bangun pagi untuk ke pejabat’.

Kepenatan dan keletihan terpancar jelas di wajah Dr Mahathir, namun demi kepentingan bangsa, agama serta tanahair; Dr Mahathir terus bangun memaksa tenaga ke arah mencemerlangkan semula Malaysia sebagai ‘Harimau Asia’ yang pernah diciptakan oleh beliau pada suatu masa dahulu.

Insya-Allah, berkat kesabaran, rakyat dalam sedikit masa lagi bakal menyaksikan sebuah negara ‘Malaysia Baharu’ yang bakal dibina semula oleh Dr Mahathir. Amin.

Kita juga jangan lupa bahawa rakyat memberi undi untuk memenangkan PH adalah demi membina semula ‘Malaysia Baharu’ dan bukan bagi merebut kuasa sesama kita.

Jangan sebut lagi jawatan Perdana Menteri Kelapan kerana jawatan itu belum wujud dan masanya juga belum sesuai untuk didendangkan setiap hari.

Paling penting ialah semua pihak kena bersatu hati secara jujur dan ikhlas untuk membantu Perdana Menteri Ketujuh membina semula negara kerana ianya adalah tanggungjawab bersama yang boleh menjamin kejayaan cemerlang hanya dengan tenaga kolektif.

Membina semula negara terletak di bahu semua orang bukan Dr Mahathir seorang diri.

Sekiranya kita hanya pandai membuat langkah songsang yang akhirnya menggagalkan agenda kerajaan PH, maka kegagalan ini juga merupakan kegagalan semua orang tanpa boleh dituding jari kepada mana-mana individu.

Malaysia selamat kerana persemuafakatan jujur sesama keseluruhan pemimpin-pemimpin PH dan kejatuhan kita juga disebabkan oleh tenaga kolektif tanpa sesiapapun tidak boleh menyalahi mana-mana individu tertentu.



Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan adalah Penyelaras Parlimen Jasin.

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.