Doktor rugi RM285,000, terperdaya dengan 'phone scam'

Menurut polis, mangsa diarah terus berhubung dengan suspek dan diminta melaporkan pergerakan harian, serta diarah buat pinjaman kewangan kononnya bagi tujuan siasatan. - Gambar hiasan
KUANTAN: Seorang doktor mengalami kerugian RM285,000 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon oleh individu yang menyamar sebagai wakil syarikat utiliti terkemuka di Malaysia dan pegawai polis.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 38 tahun itu menerima panggilan daripada individu terbabit yang mendakwa mangsa telah terlibat dalam kes ubah suai meter elektrik, pengubahan wang haram dan aktiviti penipuan digital.
"Mangsa telah diarahkan untuk terus berhubung dengan suspek serta diminta melaporkan pergerakan harian. Mangsa kemudiannya diarahkan untuk membuat pinjaman kewangan kononnya bagi tujuan siasatan bersama dengan pihak bank," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata lelaki itu telah membuat 12 transaksi pindahan wang menggunakan simpanan peribadi dan pinjaman bank ke tujuh akaun bank berbeza, selain menyerahkan 35 resit Razer Gold kepada suspek.
"Mangsa hanya menyedari ditipu selepas diminta menyerahkan sejumlah wang tambahan dan gagal menghubungi suspek," katanya.
Sehubungan dengan itu, Yahaya menasihati orang ramai agar tidak panik apabila menerima panggilan daripada individu tidak dikenali, khususnya yang mendakwa daripada agensi penguat kuasa atau institusi kewangan.
Orang ramai juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun diterima menerusi pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


