Dokumentari terbitan Australia Broadcasting Corporation (ABC), '4Corners' membuktikan pendirian Perdana Menteri berkenaan dana yang diterima selama ini.

Dokumentari itu mengesahkan siasatan terperinci pelbagai pihak berkuasa bahawa dana yang diterima Perdana Menteri adalah derma daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, siasatan yang dilakukan merangkumi pemeriksaan forensik terhadap setiap transaksi pemindahan wang.

"Pihak berkuasa Malaysia turut dihantar ke Arab Saudi untuk meneliti dokumen serta menemu bual anggota keluarga diraja serta pegawai yang mengendalikan derma berkenaan," kata kenyataan itu pada Rabu.

Menurut jurucakap kerajaan, dalam surat dari Arab Saudi yang dibocorkan, derma itu adalah hadiah kepada Perdana Menteri atas usahanya mempromosi kesederhanaan dalam Islam.

Ia juga bagi membanteras keganasan serta ekstremisme, selain inisiatif melancarkan inisiatif Gerakan Kesederhanaan Global.

"Kandungan surat berkenaan jelas menunjukkan derma itu boleh digunakan oleh Perdana Menteri seperti mana yang difikirkan patut dan akan dipindahkan secara terus atau melalui syarikat milik penderma, tanpa mengharapkan sebarang manfaat sebagai balasan," kata kenyataan itu.

Pada Isnin lalu, saluran ABC menyiarkan rancangan '4Corners' yang mengisahkan skandal kewangan melibatkan Perdana Menteri.

Dokumentari bertajuk 'State of Fear: Murder and Money in Malaysia' itu cuba mengaitkan pembunuhan beberapa individu dengan siasatan 1MDB dan Perdana Menteri.

Pada 12 Mac lepas, wartawan Four Corners, Linton Joshua Besser, 39, dan jurukamera, Eroglu Levent, 51, ditahan kerana cuba merempuh kawalan keselamatan semasa Najib melawat Kuching, Sarawak sebelum mereka dihantar pulang ke negara asal.