Skip to main content

Malaysia

Belanjawan 2027: Belia perlu ekosistem kemahiran, elak perangkap 'underemployment'

MBM maklum kenaikan gaji minimum RM2,000 terpakai bagi syarikat berpendapatan RM50 juta ke atas, gesa penyelarasan dana kemahiran TVET sebagai jambatan konkrit memecahkan perangkap gaji statik graduan dan pekerja gig. - Foto hiasan
MBM maklum kenaikan gaji minimum RM2,000 terpakai bagi syarikat berpendapatan RM50 juta ke atas, gesa penyelarasan dana kemahiran TVET sebagai jambatan konkrit memecahkan perangkap gaji statik graduan dan pekerja gig. - Foto hiasan

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kenaikan gaji minimum RM2,000 bermula Jun 2027 disasarkan kepada syarikat berpendapatan RM50 juta ke atas dan peluasan perlindungan sosial.
  • MBM menyambut baik caruman padanan KWSP dan skim PERKESO dalam Belanjawan 2027 untuk manfaat pekerja gig dan belia.
  • MBM mencadangkan dana latihan TVET dan kemahiran dihubungkan kepada komuniti pekerja gig melalui modul latihan anjal dan pemantauan penyaluran dana.

KUALA LUMPUR:

Kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 bermula Jun 2027, yang disasarkan kepada syarikat dengan pendapatan RM50 juta ke atas, serta peluasan perlindungan sosial memberi suntikan positif, namun ia menuntut sokongan ekosistem kemahiran menyeluruh agar manfaat itu dirasai lebih ramai pekerja muda.

Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Syafiq Rizdwan Jamaludin berkata, pelaksanaan bersyarat itu melegakan pekerja di syarikat berkaitan, tetapi cabaran utama tetap terarah kepada lepasan universiti dan pekerja gig yang masih berdepan perangkap guna tenaga tidak penuh (underemployment).

"Di pihak majikan dan industri, kita faham ada rungutan apabila gaji dinaikkan, tetapi sekurang-kurangnya inisiatif ini memberi sedikit ruang keselesaan kepada belia untuk memulakan kehidupan berdikari.

"Bagaimanapun, pekerjaan gig ini sepatutnya memberi tiga perkara iaitu keselesaan masa terdekat, perlindungan masa hadapan, dan jaminan bahawa taraf hidup mereka meningkat, bukannya menjadi hentian kerjaya yang kekal tanpa hala tuju," katanya.

Beliau berkata demikian ketika tampil dalam program Pantau Agenda Reformasi terbitan Astro AWANI pada Khamis.

Menyentuh mengenai ratusan ribu belia dalam sektor gig, Syafiq menyambut baik peruntukan caruman padanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti i-Saraan serta skim PERKESO dalam Belanjawan 2027.

Menurut beliau, tanggapan segelintir belia kononnya caruman keselamatan sosial mengurangkan pendapatan bawa pulang harian (take-home pay) perlu diubah segera memandangkan perlindungan jangka panjang amat penting untuk masa depan mereka.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan perlu membina jambatan konkrit yang menghubungkan pekerja gig dengan sektor ekonomi formal bernilai tinggi.

"Kita melihat ramai penunggang p-hailing sebenarnya memiliki kelayakan akademik yang cemerlang, malah ada yang mencatat keputusan SPM 10A tetapi terpaksa berada di jalanan demi kelangsungan hidup," ujarnya lagi.

Justeru, beliau berkata, MBM menyarankan agar lambakan dana latihan TVET dan kemahiran di agensi seperti MARA dihubungkan terus kepada komuniti pekerja gig melalui modul latihan yang anjal.

Fleksibiliti jadual latihan tersebut, jelas beliau lagi, membolehkan mereka meningkatkan kemahiran (upskilling dan reskilling) tanpa perlu mengorbankan punca rezeki harian.

"Melalui platform Pantau Belia, MBM akan memantau penyaluran dana kemahiran ini agar ia benar-benar sampai kepada kumpulan sasar dan diterjemahkan kepada lonjakan gaji bermaruah pasca-2027," tegasnya.

Must Watch Video

Advertisement