KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, merangkap Canselor Universiti Malaya (UM), mengisytiharkan pelantikan semula Toh Puan Dr Aishah Ong sebagai Pro-Canselor universiti itu.

Pelantikan semula itu dibuat bersempena dengan pembukaan sidang pertama Istiadat Konvokesyen UM kali ke-60 yang berlangsung mulai hari ini.

Dr Aishah pernah dilantik sebagai Pro-Canselor UM dari Feb 2003 hingga 2008 dan merupakan wanita pertama dilantik ke jawatan itu.

Selain itu, UM turut menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada ahli akademik dan pakar ekonomi Prof Dr Jomo Kwame Sundaram dalam sidang yang sama, sebagai menghargai sumbangan beliau kepada dunia pendidikan di dalam dan luar negara.

Istiadat Konvokesyen UM kali ke-60 diadakan dalam norma baharu yang akan berlangsung dalam 13 sidang mulai hari ini hingga 27 Nov nanti.

Sebanyak 5,276 graduan diraikan pada konvokesyen itu dengan 467 graduan daripadanya adalah penerima Ijazah Kedoktoran, 1,581 graduan Ijazah Sarjana dan 3,228 graduan Ijazah Sarjana Muda.

Antara yang diraikan ialah graduan kurang upaya (cacat penglihatan) Lim Tien Hong yang menerima anugerah Doktor Falsafah daripada Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran.

Selain itu, dua graduan warga emas turut menerima anugerah Doktor Falsafah iaitu Mior Roslan Mior Mohd Jaafar, 66, dan N. Damalingam, 60, masing-masing daripada Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

-- BERNAMA