SHAH ALAM: Seorang pesara tentera yang digelar 'Dr Ganja' terlepas tali gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini meminda 16 pertuduhan mengedar ganja seberat 77.48493 kilogram dan 14.647 liter kepada memiliki dadah.

Tertuduh, Kapten (B) Amiruddin @ Nadarajan Abdullah, 64, juga menghadapi 18 pertuduhan menanam pokok ganja, empat pertuduhan memiliki ganja dan satu pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan.

Hakim Julia Ibrahim menjatuhkan hukuman penjara berjumlah sembilan tahun terhadap 39 pertuduhan itu yang dilakukan di sebuah rumah di Kampung Delek Dalam, Klang, pada jam 12.30 tengah hari, 26 Mei 2017.

Bagi 39 pertuduhan itu, Amiruddin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1), Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Hakim Julia menjatuhkan hukuman penjara lima tahun masing-masing bagi pertuduhan mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 39A(1) manakala hukuman penjara sembilan tahun bagi Seksyen 39A(2) dan enam bulan penjara untuk pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a).

Beliau memerintahkan Amiruddin menjalani hukuman penjara secara serentak bagi kesemua pertuduhan itu mulai tarikh tangkapan pada 26 Mei 2017.

Hakim Julia mengarahkan tertuduh yang ditahan di penjara pada 26 Mei 2017 dibebaskan hari ini.

Hakim Julia, ketika menyampaikan keputusan di akhir pembelaan, berkata hukuman itu dikenakan selepas mempertimbang hujahan pendakwaan dan rayuan pihak pembelaan.

Beliau berkata sebagai bekas tentera, Amiruddin pastinya faham dan tahu akan kewujudan ADB, walaupun kesalahan dilakukan didorong rasa terdesak menggunakan ganja sebagai rawatan alternatif untuk merawat penyakit yang dihadapinya.

"Diharapkan hukuman ini dapat menjadi pencegah kepada orang lain yang mempunyai cadangan dan niat yang serupa (menggunakan dadah tanpa kebenaran untuk merawat penyakit)," katanya.

Seramai 17 saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan telah dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula sejak 8 April 2019.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala tertuduh diwakili peguam Sangeet Kaur Deo dan Pravin Mahentharan.

Pada 28 Jan 2022, Mahkamah Tinggi memerintahkan Dr Ganja itu membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kesemua 39 pertuduhan di bawah ADB 1952.

-- BERNAMA