Presiden Universiti Islam Antrabangsa Malaysia (UIAM) Tan Sri Dr Rais Yatim pada Selasa melahirkan harapan agar Menteri Pendidikan yang baharu Dr Maszlee Malik dapat memartabatkan bahasa Melayu dan menerapkan amalan budi di pelbagai peringkat pelajaran.

Amalan budi itu, kata Rais, hendaklah juga dipupuk kepada rakyat Malaysia bermula di bangku sekolah lagi.

"Apa yang dihajatkan adalah agar bahasa Melayu dan amalan budi tidak dicicirkan. Sekolah Kebangsaan pula mestilah menyediakan pilihan kursus untuk pelajar seperti bahasa Mandarin, Arab, Tamil dan lain-lain," kata Rais dalam satu kenyataan dikeluarkan UIAM.

Beliau berkata seluruh warga UIAM melahirkan rasa bangga di atas pelantikan Maszlee itu.

Ini kerana Maszlee merupakan salah seorang bekas pensyarah di Jabatan Sains Politik, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM, kata Rais.

Sementara itu, Rektor UIAM Prof Datuk Zaleha Kamarudin turut mengucapkan tahniah di atas pelantikan itu serta menyifatkan Maszlee sebagai ahli akademik yang mampu mengutarakan pelbagai idea baru dalam usaha perubahan dan reformasi pendidikan negara.

"Pensyarah UIAM bersedia untuk memberikan sokongan padu kepada Maszlee dan Kementerian Pendidikan Malaysia," katanya.

Maszlee berkhidmat sebagai pensyarah di UIAM selama 18 tahun dari tahun 2000 hingga 2018.

Beliau pernah dilantik sebagai Presiden Kakitangan Akademik UIAM selama dua penggal iaitu dari 2012 hingga 2015.

-- BERNAMA