KUALA LUMPUR: Timbalan Panglima Armada Timur, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Dr Najhan Md Said dilantik sebagai Naib Pengerusi Sub-Committee Undersea Features Name (SCUFN) bagi penggal 2024 hingga 2028.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, pelantikan tersebut dilaksanakan melalui proses undian dalam Mesyuarat ke-36 SCUFN, melibatkan 12 Ahli Tetap dari 12 negara di Wollongong, Australia, semalam.

Najhan mendapat undi majoriti 10 berbanding dua undi oleh Dr Li Sihai dari China manakala bagi jawatan Pengerusi disandang Dr Yasuhiko Ohara dari Jepun selepas mengatasi calon Australia.

"Pemilihan Najhan itu merupakan penghormatan tertinggi yang pernah diterima TLDM dan Malaysia di pentas antarabangsa, khasnya dalam bidang hidrografi dan oseanografi," menurut kenyataan itu.

Ahli tetap organisasi berkenaan ialah Malaysia, Indonesia, China, Brazil, Australia, Itali, Jepun, Kenya, Korea Selatan, Mexico, Amerika Syarikat dan New Zealand.

SCUFN adalah sebuah jawatankuasa di bawah naungan Pertubuhan Hidrografi Antarabangsa (IHO) dan Suruhanjaya Oseanografi Antara Kerajaan (IOC).

Ia bertanggungjawab menyemak, melulus dan menyeragamkan istilah geografi dan nama fitur dasar laut (FDL) yang dikemukakan oleh negara ahli untuk diwartakan secara rasmi dalam pangkalan data General Bathymetric Chart of the Oceans (GEBCO).

"Pangkalan data ini merupakan pangkalan data rasmi rujukan nama FDL bagi penerbitan carta dan atlas marin dunia dan sebarang penghasilan kajian geologi marin perlu merujuk kepada nama rasmi yang diwartakan dalam pangkalan data itu," menurut kenyataan itu. - BERNAMA