Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Dr Wan Azizah gesa murid tercicir, pedalaman tidak dipinggirkan dalam pendidikan

tokoh Pendidik
Dr Wan Azizah (foto) berkata perhatian tidak seharusnya hanya tertumpu kepada murid yang mempunyai akses pendidikan lebih baik, sebaliknya perlu merangkumi golongan yang masih tersisih dan tidak mendapat peluang sama. -Foto Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Usaha memperkasa pendidikan negara perlu memastikan murid yang tercicir serta kanak-kanak di kawasan pedalaman turut mendapat akses dan peluang pendidikan sewajarnya, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Isteri Perdana Menteri itu berkata perhatian tidak seharusnya hanya tertumpu kepada murid yang mempunyai akses pendidikan lebih baik, sebaliknya perlu merangkumi golongan yang masih tersisih dan tidak mendapat peluang sama.

“Jangan lupa yang mana yang tidak, yang tercicir, yang tidak dapat peluang... namun yang jauh, yang duduk di tempat-tempat pedalaman, mereka juga adalah anak-anak kita.

“Marilah kita sama-sama cuba mendapatkan supaya kita dapat akses pada mereka juga, kerana mereka juga membawa nama negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Wacana Inspirasi Pendidikan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Tahun 2026 di HGH Convention Centre, Sentul, di sini, hari ini.

Image
tokoh Pendidik

Dr Wan Azizah berkata guru memainkan peranan penting dalam membuka peluang serta membentuk masa depan murid, termasuk mereka yang memerlukan bantuan bukan sahaja dalam pendidikan formal, malah sokongan dan kasih sayang.

“Ini menunjukkan bahawa guru paling penting dalam hidup kita dan guru memberikan semangat untuk hidup lebih baik, untuk membangun, membawa kepada satu masa depan yang lebih cemerlang kepada semua yang diberikan potensi dan peluang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Megat Affandi Ismail berkata kecemerlangan pendidikan tidak lengkap sekiranya masih terdapat murid yang ketinggalan.

Bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, seramai 114 daripada 138 calon berkeperluan pendidikan khas atau 82.61 peratus berjaya memperoleh sijil, manakala calon kategori buta dan rabun mencatatkan 100 peratus layak mendapat sijil.

“Kejayaan sebenar bukan apabila yang sudah cemerlang terus cemerlang, tetapi apabila yang memerlukan sokongan turut bergerak ke hadapan,” katanya.

Image
AWANI

Dalam pada itu, penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan, Zalina Mohd Tahir berkata perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) menuntut guru meningkatkan ilmu dan kemahiran secara berterusan supaya tidak ketinggalan.

“Seorang guru perlu sentiasa berada di hadapan murid dari segi kemahiran dan pengetahuan. Amat penting untuk guru terus menambah ilmu dan meningkatkan kemahiran supaya mampu menghadapi cabaran yang mendatang,” katanya.

Penerima Anugerah Tokoh Guru, Lee Saw Im pula berkata guru perlu sentiasa meningkatkan keupayaan diri bagi mengikuti perubahan semasa, khususnya ketika murid semakin mahir menggunakan teknologi digital dan AI.

“Teknologi digital tidak akan menggantikan seorang guru yang hebat, tetapi apabila teknologi berada di tangan guru yang hebat, ia mampu membawa transformasi,” katanya.

Wacana anjuran JPWPKL itu antara lain menjadi platform menghargai sumbangan warga pendidikan dan individu yang menjadi penggerak kepada pembangunan pendidikan di ibu negara.

Must Watch Video

Advertisement