KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata beliau akan berusaha untuk menangani isu-isu legasi dan meningkatkan kualiti kehidupan warga kota.

Beliau berkata ia antaranya melibatkan isu kebersihan dan keselamatan di sekitar Masjid Jamek dan kawasan River of Life, isu gelandangan serta pendatang tanpa izin di Jalan Silang dan beberapa jalan utama di ibu negara.

Dr Zaliha menerusi catatan di Facebooknya menyatakan beliau hari ini meninjau kawasan sekitar Kuala Lumpur bagi memahami sendiri isu-isu dan permasalahan setempat yang boleh ditambah baik dan diselesaikan.

Katanya beliau juga mengambil kesempatan mendengar sendiri pandangan dan keluhan para peniaga di sekitar Kuala Lumpur.

"Insya-Allah, kita akan bersama-sama berganding bahu bagi meningkatkan kualiti kehidupan warga Kuala Lumpur dan menangani isu-isu legasi yang perlu dinoktahkan segera," katanya.

-- BERNAMA