TASHKENT: Draf pindaan perlembagaan Uzbekistan disokong 90.21 peratus pengundi dalam referendum yang berlangsung pada Ahad, dengan 84.54 peratus pengundi keluar mengundi, kata ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat, Zainiddin Nizamkhodzhayev pada Isnin.

"Seramai 15,040,056 orang mengundi dalam pungutan suara itu," kata Nizamkhodzhayev pada taklimat, lapor Sputnik.

Setiausaha Agung Komanwel Negara Merdeka (CIS) dan ketua pemerhatinya di Uzbekistan, Sergey Lebedev, berkata proses referendum itu dilaksanakan mengikut undang-undang.

"Misi pemerhati Komanwel Negara Merdeka membuat kesimpulan bahawa referendum Republik Uzbekistan mengenai draf undang-undang perlembagaan... berjalan lancar dalam suasana bebas dan terbuka, selaras dengan undang-undang semasa," kata Lebedev pada taklimat itu.

Beliau berkata rakyat Uzbekistan telah diberi peluang untuk menyatakan kehendak mereka secara bebas.

Referendum pada Ahad antara lain akan melanjutkan tempoh jawatan presiden daripada lima kepada tujuh tahun dan mengukuhkan pelbagai cabang kerajaan.

Rombakan itu akan membolehkan penyandang Presiden Shavkat Mirziyoyev berkhidmat dua penggal lagi.

Sementara itu, misi pemantauan Pertubuhan Kerjasama Shanghai tidak merekodkan pelanggaran prosedur semasa referendum itu berlangsung, kata ketua blok serantau yang berpangkalan di Beijing pada Isnin.

"Kami tidak merekodkan sebarang pelanggaran norma undang-undang. Misi menganggap referendum itu adil, telus dan demokratik," kata Setiausaha Agung SCO Zhang Ming dari China pada taklimat berita di Tashkent.

Ketua organisasi keselamatan dan pembangunan lapan negara yang terdiri daripada China, India, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Rusia, Pakistan, Tajikistan dan Uzbekistan, memuji Uzbekistan kerana berpegang pada komitmen yang dibuatnya kepada rakan kongsi antarabangsa.

-- BERNAMA