MALAYSIA
Draf pindaan Akta 134 kini di fasa akhir - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi Bulan Julai 2025 hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Penyediaan draf pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang melibatkan isu pemilikan tanah masyarakat orang Asli kini berada di fasa akhir, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ringkasan AI
- Draf pindaan Akta Orang Asli 1954 kini di fasa akhir dan dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya September 2025, sebelum dibentangkan di Parlimen pada Mac 2026.
- Pindaan ini turut merangkumi aspek pendidikan, perumahan, ekonomi dan infrastruktur, bagi memperkukuh kesejahteraan masyarakat Orang Asli.
- Ahmad Zahid juga menyeru peluasan Projek Agrotek Wilayah KETENGAH dan pembangunan pelancongan Tasik Kenyir, termasuk projek cili fertigasi dan inisiatif Desa Kirana, sebagai pemacu ekonomi luar bandar menjelang Visit Malaysia 2026.
Beliau berkata Akta itu akan dipinda setelah lebih 70 tahun dan beberapa aspek sedang diambil kira untuk dimasukkan dalam ubah suai akta ini terutamanya isu tanah atau kawasan rayau kerana terdapat pertikaian antara komuniti itu dan tuan tanah, pihak swasta dan kerajaan negeri.
Akta 134 telah dipinda kali terakhir pada 1967 dan disemak pada 1974.
Sementara itu Ahmad Zahid berkata beliau mahu pendekatan pertanian berimpak tinggi melalui Projek Agrotek Wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) diperluaskan.
Beliau berkata dengan pendekatan konsep pertanian pintar bagi tanaman cili fertigasi itu, negara mampu meningkatkan produktiviti dan pendapatan.
"Setakat ini 16,000 polibeg telah diusahakan di atas tanah empat ekar oleh empat peserta. Saya percaya dengan bimbingan serta teknologi yang tepat, projek ini berpotensi menghasilkan 96,000 kilogram cili dengan anggaran hasil jualan RM576,000 setahun," katanya.
Ahmad Zahid turut menyeru KETENGAH memacu transformasi pelancongan Tasik Kenyir melalui inisiatif Desa Kirana dan menjadikannya destinasi ikonik yang menyumbang kepada kejayaan Visit Malaysia 2026.
KETENGAH merupakan sebuah agensi badan berkanun di bawah KKDW yang berusia 52 tahun dan telah membelanjakan RM1.7 bilion sepanjang tempoh itu untuk melaksanakan pelbagai program dan projek bagi membangunkan wilayah dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami