KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menandatangi satu memorandum persefahaman (MoU) dan lapan kontrak perolehan aset bernilai RM2.59 bilion pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, ia melibatkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

"Kerajaan sentiasa memberi keutamaan terhadap keselamatan dalam negara.

"Apabila perancangan telah selesai, kita bagi kontrak dan kita tandatangan, ini buktikan kita bukan sahaja cakap perancangan tapi telah lantik kontraktor dalam meneruskan agenda kerajaan," jelasnya.

Cerita Sebalik Berita: Tumpuan hari ketiga DSA & NATSEC 2022

Mengenai dokumen terbabit, katanya sebanyak tiga kontrak bersama PDRM ditandatangani membabitkan nilai RM249.5 juta; empat kontrak bersama JIM dengan nilai RM2.22 bilion dan satu kontrak bersama Maritim Malaysia bernilai RM124.2 juta.

MoU dan kontrak itu ditandatangani Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Seri Yusof Ismail dan wakil syarikat tempatan.

Antara kontrak berimpak tinggi ditandatangani adalah perolehan peralatan Satelit X-Band untuk PDRM; projek naik taraf Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) untuk Maritim Malaysia dan Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bagi JIM.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani MoU dan Kontrak KDN sempena DSA 2022 dan NATSEC 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Rabu.