Skip to main content

Malaysia

DSA 2026: Sapura perkukuh kesiapsiagaan negara, fokus teknologi pertahanan berdaulat

Sumber: Sapura Group
Shahril (dua dari kiri) mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau ruang pameran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Kuala Lumpur, hari ini. - Gambar ihsan Kumpulan Sapura

KUALA LUMPUR: Ketika ancaman keselamatan semakin merentas dimensi fizikal dan digital, Kumpulan Sapura menegaskan komitmennya menyokong pembinaan sebuah Malaysia yang selamat, terjamin dan berdaulat menerusi pembangunan teknologi pertahanan tempatan yang melindungi kepentingan nasional.

Komitmen itu dizahirkan menerusi penyertaan syarikat berkenaan dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, dengan mempamerkan keupayaan terbaharu mereka dalam dalam keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) berdaulat dan komunikasi strategik.

Advertisement

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura, Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata, landskap ancaman keselamatan hari ini berkembang dengan pantas dan semakin kompleks, khususnya melibatkan serangan digital dan peperangan siber.

“Ancaman digital yang kita hadapi hari ini berkembang hampir setiap minggu. Justeru, Sapura terus melabur dalam pembangunan teknologi tempatan bagi memastikan kesiapsiagaan negara dapat diperkukuh dan kepentingan nasional sentiasa dilindungi,” katanya kepada media sempena DSA 2026 yang bermula pada Isnin.

Shahril berkata, Sapura mengiktiraf sejak awal bahawa AI berpotensi mengubah secara menyeluruh landskap operasi keselamatan siber, sekali gus menjadikannya antara tumpuan utama pelaburan strategik kumpulan itu.

Antara yang dipamerkan ialah keupayaan AI berejen berdaulat (sovereign agentic AI) yang dibangunkan melalui cabang keselamatan siber Sapura, Velum Labs, bagi menyokong operasi pertahanan siber nasional sedia ada.

Menerusi demonstrasi langsung platform V ATTACK, Velum Labs menunjukkan bagaimana integrasi AI berdaulat mampu meningkatkan keupayaan pengesanan, tindak balas dan ketahanan dalam menghadapi ancaman siber.

Selain itu, Sapura Secured Technologies Group (SSTG) mempamerkan sistem komunikasi terkini Government Integrated Radio Network (GIRN 2.0) yang berasaskan teknologi 5G dan dipacu AI.

Sistem berkenaan direka untuk memenuhi keperluan komunikasi selamat dan berdaulat kerajaan, khususnya dalam pengurusan bencana nasional serta operasi Perlindungan Awam dan Pengurusan Bencana (PPDR).

Menurut Sapura, GIRN 2.0 membolehkan penyatuan pelbagai agensi tindak balas dalam satu sistem selamat yang menyediakan kesedaran situasi masa nyata dari lapangan hingga ke pusat arahan persekutuan, sekali gus membolehkan keputusan dibuat dengan lebih pantas dan berkesan ketika krisis.

Shahil berkata, penyertaan Sapura dalam DSA 2026 mencerminkan usaha berterusan syarikat itu untuk membangunkan teknologi strategik tempatan sebagai aset penting dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara, seiring perubahan ancaman keselamatan global yang semakin mencabar.

Defence Services Asia (DSA) 2026 yang berlangsung dari 20 hingga 23 April di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) merupakan antara pameran pertahanan terbesar di rantau ini, menghimpunkan pemain industri dan delegasi pertahanan dari seluruh dunia.

Pameran dwitahunan edisi ke‑19 itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menandakan peranan penting Malaysia sebagai platform dialog dan kerjasama keselamatan antarabangsa.

Edisi kali ini menyaksikan penyertaan lebih 1,400 syarikat dari lebih 60 negara, termasuk puluhan pavilion kebangsaan, sekali gus mencerminkan skala serta kepentingan strategik pameran berkenaan.

DSA 2026 memberi tumpuan kepada perkembangan teknologi pertahanan merentas darat, laut, udara dan siber, dalam usaha membantu negara‑negara meningkatkan keupayaan serta kesiapsiagaan keselamatan ketika berdepan ancaman global yang semakin rumit..

Must Watch Video