SUNGAI PETANI: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencuri tumpuan apabila membuat kemunculan khas sebagai pelakon dalam filem The Keris yang dijangka ditayangkan kepada umum pada Julai ini.
Beliau berkata, penglibatannya dalam filem tersebut merupakan pengalaman pertama dalam dunia lakonan sekali gus membuka ruang baharu untuk menyampaikan mesej positif kepada generasi muda melalui medium perfileman.
Advertisement
Menurutnya, beliau membawakan watak seorang panglima yang memberi semangat kepada kumpulan pesilat dalam sebuah pertarungan yang turut mengangkat elemen kepahlawanan Melayu.
“Watak saya sebagai panglima yang datang memberi semangat kepada pesilat-pesilat, termasuk seorang pesilat yang akan bertarung dengan jaguh dari luar negara.
“Semangat kepahlawanan Hang Tuah itu dijelmakan dalam The Keris. Peranan saya adalah membawa semangat itu kepada anak-anak muda yang terlibat dalam seni silat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Poster, Teaser dan Trailer filem berkenaan di Sungai Petani pada petang semalam.
Muhammad Sanusi mengakui pengalaman berlakon bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan penghayatan watak yang mendalam namun menyifatkannya sebagai pengalaman baharu yang menarik.
“Berlakon ini susah kerana perlu menghayati skrip dan watak. Saya ini orang real, tetapi bila cuba berlakon, tidaklah terlalu kekok,” ujarnya.
Jelasnya, tawaran untuk berlakon diterimanya kerana tertarik dengan mesej yang ingin disampaikan khususnya berkaitan budaya Melayu dan seni silat.
Menurutnya, medium perfileman mampu memainkan peranan besar dalam menyampaikan mesej positif selain memperkenalkan warisan budaya kepada generasi muda.
“Saya terima sebab ia berkaitan budaya Melayu. Kalau watak lain mungkin saya tidak ambil, tetapi ini berkait dengan pahlawan Melayu. Saya juga tidak ambil bayaran, percuma sahaja,” katanya.
“Banyak pengaruh datang daripada filem, termasuk yang negatif. Jadi kita guna cara sama untuk bawa mesej positif dan budaya kita kepada generasi akan datang,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan untuk terus menerima tawaran berlakon sekiranya watak yang diberikan sesuai dengan dirinya. - Sinar Harian