KUALA LUMPUR: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Sabah akan mengemukakan usul pembatalan Perjanjian Petronas dalam Sidang DUN Sabah pada minggu depan.

ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick dan ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe berkata, mereka berbuat demikian bagi menyambut cabaran bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh sebelum ini.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata, semua undang-undang berkaitan hak dan kepentingan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) harus terlebih dahulu diluluskan di DUN Sabah sebelum dikuatkuasakan.

“Kami mengambil maklum kenyataan bekas Ketua Menteri yang menyatakan Perjanjian Petronas ditandatangani bagi melaksanakan Akta Pembangunan Petroleum yang diluluskan di Parlimen pada 1974.

“Beliau menyatakan bahawa wakil-wakil rakyat Sabah pada ketika itu juga menyokong keputusan berkenaan.

“Harris juga menyatakan supaya kami mengemukakan usul di DUN bagi membatalkan Perjanjian Petronas dan kami terima cabaran itu.

"Kami akan usulkan pada sidang DUN yang berlangsung 18 hingga 21 Julai ini," katanya.

Dalam kenyataan sama, kedua-duanya mengakui tidak menolak kemungkinan memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar kesahihan Akta Pembangunan Petroleum dan Perjanjian Petronas, sekiranya usul itu gagal dibawa ke sidang DUN.

Dakwa Ewon yang mewakili Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) dan Phoong dari DAP, semakan kehakiman boleh dilakukan memandangkan perjanjian itu dibuat ketika Ordinan Darurat, yang kini sudah dibatalkan, berkuat kuasa.

Dalam pada itu, kedua-dua wakil rakyat itu juga mendakwa Perjanjian Petronas yang ditandatangani Harris dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan itu, merupakan satu kesilapan besar yang merugikan rakyat Sabah sehingga kini.

"Wakil-wakil rakyat yang bersetuju dengan keputusan itu juga turut sama bertanggungjawab atas kesilapan berkenaan.

“Sabah memerlukan kepimpinan yang tegas dan tidak mudah akur kepada kehendak Kerajaan Persekutuan, apatah lagi jika ia hanya memberi keuntungan kepada Putrajaya,” ujarnya.

Astro AWANI sedang menunggu maklum balas dari Petronas berhubung kenyataan dikeluarkan kedua-dua ADUN tersebut.