KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi memberi tempoh lanjutan 30 hari bagi dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan harta milik mereka.

Mirzan Mahathir dan Tan Sri Mokhzani Mahathir dikehendaki memenuhi permintaan berkongsi perincian harta serta seluruh aset yang diperoleh sejak 43 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1981 ketika bapa mereka menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri.

Pemakluman lanjutan itu disahkan oleh Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid, peguam yang mewakili Mirzan dan adiknya Tan Sri Mokhzani ketika dihubungi Berita Harian pada Jumaat.

Beliau turut memaklumkan notis daripada SPRM mengenai lanjutan tempoh itu diterima pada hari sama.


Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menjelaskan, dua anak bekas perdana menteri itu boleh didakwa sekiranya gagal mengisytiharkan harta mereka kepada agensi penguasa itu.

Bagaimanapun Mirzan dan Mokhzani meminta SPRM untuk bersabar dan menjelaskan bahawa mustahil serta sukar untuk pihaknya mengumpul maklumat berkenaan harta yang diperolehi dalam tempoh lebih empat dekad.

Pada 18 Januari lalu melaporkan, SPRM mengkehendaki Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.

Mokhzani pula disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.