KOTA KINABALU: Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) cedera ditembak ketika sedang menjalankan rondaan Op Khas Pagar Laut di perairan Kunak pada 8.30 pagi tadi.

Pengarah Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama (M) Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata ketika kejadian, anggota Maritim Malaysia melihat sebuah bot yang mencurigakan berada di perairan itu sebelum cuba menghampiri bot berkenaan.

"Bagaimanapun semasa anggota menghampiri bot berwarna biru itu, tiga suspek yang dipercayai berada dalam bot telah melepaskan tembakan ke arah anggota Maritim Malaysia sebelum memecut ke arah perairan negara," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata anggota yang cedera telah dibawa ke Hospital Kunak untuk rawatan lanjut.

Che Engku Suhaimi berkata pihaknya sedang menyiasat kes itu dan memohon orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian berkenaan.

Sementara itu Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Ts Dr Suzanna Razali Chan dalam satu kenyataan berkata, mangsa terbabit ialah Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, yang juga ketua bot Banggi 48, cedera di mata kanan manakala seorang lagi kru bot yang sama, Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua-dua belah tangan ketika sedang bergelut membalas tembakan dengan pihak penjenayah.

Manakala, empat lagi anggota penguat kuasa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Anggota Maritim terbabit sedang melakukan pemeriksaan bagi Op Khas Pagar Laut di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut Kampung Pangi, Kunak. - Foto Maritim Malaysia
Jelas beliau, berdasarkan laporan awal, seramai tiga orang suspek bersenjatakan pistol telah melepaskan empat das tembakan ke arah Bot Banggi 48 ketika bot berkenaan cuba menghampiri sebuah bot enjin sangkut berwarna biru yang dinaiki suspek untuk tindakan pemeriksaan bagi Op Khas Pagar Laut di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut Kampung Pangi, Kunak.

Tambah beliau lagi, apabila pasukan peronda cuba menghampiri, suspek telah bertindak melepaskan tembakan bagi mengelakkan daripada anggota bot peronda Maritim Malaysia menghampiri mereka. Suspek kemudiannya berjaya melepaskan diri dengan membawa bot tersebut.

Berikutan kejadian terbabit, Maritim Malaysia telah mengatur gerakkan Pasukan Tindakan Khas & Penyelamat, pesawat udara, Bahagian Perisikan Maritim serta pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) ke lokasi terbabit bagi menyiasat kes ini dan mengesan kesemua suspek terlibat.